PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Menurut kenyataan badan bolasepak dunia itu tujuh pemain tersebut ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.
Mereka diturunkan ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam 10 Jun lalu sehingga mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta). Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.
FIFA turut merujuk isu kelayakan pemain berkenaan untuk mewakili Malaysia kepada Tribunal Bolasepak FIFA bagi pertimbangan lanjut.
FAM dan pemain-pemain berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu hari ini, dengan hukuman berkenaan masih boleh dirayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.


