SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di kawasan Lenggeng, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, laporan kejadian diterima kira-kira pukul 11.09 pagi tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati pada pukul 9.20 pagi, mangsa dilihat oleh orang awam telah terjatuh ke dalam saluran kumbahan yang tidak bertutup ketika berlangsungnya program kejohanan sukan olahraga di sekolah tersebut.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi berjaya mengeluarkan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Rembau bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Setakat ini, siasatan awal mendapati insiden berlaku akibat kemalangan dan tiada unsur jenayah dikenal pasti.


