SEORANG pemandu kereta maut selepas tersepit bawah treler selepas terlibat dalam nahas tujuh kenderaan di Jalan Kluang-Batu Pahat, hadapan masjid Sabak Uni, Batu Pahat pagi tadi.
Dalam Kemalangan kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa lelaki warga Pakistan berusia 43 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Nahas dipercayai berlaku selepas sebuah treler terbabas dan merempuh beberapa kenderaan lain di hadapannya.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Hafizul Adzrin, berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 10.06 pagi.
“Kemalangan membabitkan tujuh kenderaan iaitu sebuah treler, dua lori, tiga kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna.
Treler itu dilaporkan terbabas dan merempuh kenderaan lain di lokasi,” katanya dalam kenyataan, lapor BH Online.
Katanya dalam operasi itu, bomba terpaksa mendapatkan bantuan kren bagi mengalih treler, sebelum mengeluarkan mangsa tersepit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Dalam nahas itu, enam mangsa cedera manakala empat lagi termasuk pemandu treler selamat.


