KERAJAAN akan menyalurkan bantuan kepada ahli keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan membantu delegasi serta setiap ahli keluarga mereka bagi memastikan tiada sebarang masalah dihadapi sepanjang misi kemanusiaan itu.
Anwar berkata sebagai penaung Sumud Nusantara, beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap semangat juang ditunjukkan semua delegasi Malaysia yang menyertai GSF dalam usaha menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.
“Insya-Allah, bagi pihak kerajaan kita akan terus bantu saudara apa yang tidak cukup dan juga ahli keluarga di sini (Malaysia).
“Saya tidak mahu keluarga berasa resah, sukar dan sebagainya dalam menghadapi beberapa masalah. Jadi, kita akan menghulurkan bantuan kepada mereka serta kepada saudara (delegasi),” kata beliau lapor Bernama.
Anwar berkata demikian ketika sesi interaksi secara telesidang dengan 34 rakyat Malaysia yang menyertai GSF ke Gaza, di Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di Sepang hari ini.


