Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan tegas menganggap tindakan mengibar bendera Israel atau menampal pelekat bertulisan Hebrew adalah satu pengkhianatan,.
Sambil menegaskan bersetuju bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran, Perdana Menteri berkata, perbuatan tersebut menyinggung sensitiviti rakyat dan bercanggah dengan dasar negara, tidak boleh diterima sama sekali.
“Ini menyinggung perasaan khalayak dan bertentangan dengan dasar negara keseluruhannya. Ini dasar negara yang merentas parti termasuk soal bendera, walau apa pun matlamatnya, ia tetap salah.
“Mana ada negara di dunia yang ketika dijajah, rakyatnya mengibar Union Jack, bendera penjajah, dan ia akan dianggap sebagai pengkhianatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung pendirian kerajaan terhadap acara yang mengibarkan bendera Israel di negara ini.
Sebelum ini, polis telah membuka kertas siasatan berhubung isu pengibaran bendera Israel ketika “Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza” mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
UNDILAH |


