Kekecohan iringi kejayaan Qatar layak ke Piala Dunia tewaskan UAE di Doha

Kekecohan tercetus di Stadium Jassim Bin Hamad Doha,malam tadi apabila Qatar menempah slot ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 dalam aksi play-off yang tegang.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Julen Lopetegui di tangga teratas kumpulan tiga pasukan tersebut, sekali gus meninggalkan UAE berdepan risiko melanjutkan penantian 35 tahun untuk beraksi di pentas bola sepak paling berprestij dunia itu.

Perlawanan itu menyaksikan kebuntuan dipecahkan pada minit ke-49 apabila Boualem Khoukhi meledak gol pembukaan untuk tuan rumah, sebelum meraikan jaringannya di hadapan penyokong pelawat.

Telefon bimbit dan selipar antara barang yang dilempar penyokong UAE kepada pemain Qatar.

Tindakan itu mencetus kemarahan penyokong UAE yang membalas dengan membaling selipar, botol plastik dan cawan ke dalam padang. Seorang pegawai kejurulatihan Qatar dilaporkan terkena objek yang dilempar.

Sebuah video yang tular di platform X menunjukkan penyokong UAE cuba merempuh masuk ke padang, menyebabkan pihak polis terpaksa campur tangan bagi mengawal keadaan dan perlawanan dihentikan seketika.

Apabila aksi bersambung semula, Qatar menambah jaringan kedua menerusi sepakan Pedro Miguel, sebelum Sultan Adiil Alamiri menjaringkan gol saguhati untuk UAE pada lewat permainan.

Kekalahan itu bagaimanapun belum memadam sepenuhnya harapan UAE untuk layak ke Piala Dunia 2026 di Amerika Utara. Mereka kini akan berdepan Iraq dalam aksi play-off dua perlawanan — dan jika menang, akan mara ke pusingan play-off antara benua bersama lima pasukan lain dari seluruh dunia.

Anggota keselamatan menahan salah seorang penyokong UAE yang cuba menceroboh ke dalam padang.

Namun, insiden kekecohan di Doha itu mungkin menjejaskan peluang mereka. FIFA atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkemungkinan mengenakan tindakan disiplin terhadap UAE susulan kelakuan penyokong mereka — termasuk denda atau penggantungan.

Dalam kejadian hampir sama ketika kekalahan UAE kepada Qatar di Piala Asia 2019, pasukan itu pernah dikenakan denda dan diarahkan bermain satu perlawanan tanpa penonton akibat rusuhan penyokong.

Jurulatih UAE, Cosmin Olaroiu, bagaimanapun enggan menyalahkan penyokongnya, sebaliknya menuding kepada “keadaan tidak adil” dalam penentuan tempat perlawanan play-off.

Beliau berkata penyokong pelawat hanya diberikan peruntukan lapan peratus tiket stadium, namun jumlah sebenar yang hadir dilihat jauh melebihi itu.

“Insiden berlaku dari kedua-dua pihak. Ia memang tidak sepatutnya berlaku, tetapi apa yang boleh kita lakukan?” katanya kepada media.

“Dalam kejohanan seperti ini, semua pasukan sepatutnya mendapat peluang yang sama rata. Ia mudah saja — kumpulan satu patut bermain di Arab Saudi (seperti play-off antara Iraq dan Indonesia), dan kumpulan satu lagi bermain di sini. Jadi tiada siapa bermain di tempat sendiri di hadapan 80-90 peratus penyokong mereka.”

“Pada awal pertandingan, mereka kata pasukan tempat ketiga dalam pusingan kelayakan sebelum ini akan jadi tuan rumah kumpulan, tetapi akhirnya kami pula main di tempat lawan. Semuanya sudah diputuskan. Sekarang sudah terlambat untuk ubah apa-apa.”

Sementara itu, jurulatih Qatar, Julen Lopetegui, menyeru agar insiden sebegitu dielakkan pada masa hadapan.

“Kita semua mahu melihat semangat dan sorakan yang positif, tetapi kita mesti elak tingkah laku berbahaya seperti ini. Bola sepak sepatutnya menyatukan negara dan manusia,” katanya.

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4496″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img