ISRAEL telah melancarkan serangan udara ke atas Rafah di selatan Gaza dengan alasan berlaku “pelanggaran gencatan senjata” selepas satu serangan didakwa mengakibatkan kematian dua askar Israel dan mencederakan dua yang lain.
Perjanjian gencatan senjata Gaza kini berdepan risiko runtuh serta-merta selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas Rafah di selatan Gaza, dengan kerajaan Israel mendakwa berlaku pelanggaran terhadap perjanjian keselamatan tersebut.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kini sedang mengadakan penilaian keselamatan tergempar bersama Menteri Pertahanan Yisrael Katz dan pegawai kanan lain bagi menilai situasi keselamatan selepas apa yang mereka istilahkan sebagai “pelanggaran gencatan senjata.”
Media Israel melaporkan bahawa Tentera Udara Israel melancarkan serangan tersebut sebagai tindak balas terhadap pelanggaran yang didakwa itu, selepas berlaku insiden berbalas tembakan antara tentera Israel dan “militan bersenjata.”
Punca sebenar peningkatan ketegangan itu masih belum diketahui, walaupun media Israel yang dipetik oleh Al-Mayadeen melaporkan berlaku “insiden maut” di Rafah, di mana dua askar Israel dilaporkan terbunuh dan dua lagi cedera akibat gabungan tembakan penembak tepat dan letupan bahan peledak.
Salah satu saluran media Israel turut mencadangkan bahawa serangan udara itu juga bertujuan “melindungi militia Yasser Abu Shabab,” menunjukkan dinamika keselamatan yang kompleks di mana Israel mungkin mensasarkan kumpulan Palestin yang bertanggungjawab menyerang militia tersebut atau yang memberi mereka perlindungan.
Berikutan keadaan itu, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir secara terbuka menggesa Perdana Menteri Netanyahu supaya mengarahkan tentera meneruskan pertempuran di Semenanjung Gaza “dengan kekuatan penuh,” dengan alasan bahawa perjanjian tersebut telah dilanggar.
Pejabat Media Gaza dilaporkan menuduh Israel telah melanggar gencatan senjata sebanyak 47 kali sejak ia bermula pada 10 Oktober. Pelanggaran ini dikatakan termasuk pembunuhan 11 ahli keluarga Abu Sha’ban di kejiranan Zaytoun di utara Gaza.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4900″]


