Tentera Israel langgar lagi gencatan senjata Gaza, serang sekolah dan kem pelarian

TENTERA Israel sekali lagi melanggar gencatan senjata di Gaza apabila melancarkan serangan yang mengorbankan orang awam serta menyasarkan sekolah dan kem pelarian, ketika para perantara berusaha mempertahankan perjanjian rapuh itu di tengah keadaan kemanusiaan yang semakin parah.

Tiga penduduk Palestin terbunuh apabila tentera Zionis  Israel melepaskan tembakan ke arah mereka ketika pulang untuk memeriksa kediaman masing-masing di kawasan Sha’af, kejiranan Tuffah, timur Bandar Gaza, lapor Al-Jazeera yang memetik sumber perubatan di Hospital Baptis Al-Ahli.

Insiden itu jelas merupakan satu pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata yang bertujuan menamatkan perang di Semenanjung Gaza, walaupun tentera Israel telah membuka semula lintasan Karam Abu Salem (Shalom) dan Kissufim.

Lintasan itu ialah dua lintasan sempadan antara Semenanjung Gaza dan Israel, yang memainkan peranan penting dalam pergerakan barangan dan kadangkala bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurut Pertahanan Awam Gaza, pasukan pendudukan Israel turut mengebom beberapa kawasan di tengah Gaza, Khan Yunis dan Rafah, sekali gus melanggar lagi perjanjian gencatan senjata.

Agensi itu berkata pasukannya merekodkan serangan yang sengaja dilancarkan terhadap sekolah yang menempatkan pelarian, sekaligus memburukkan lagi  krisis kemanusiaan yang amat kritikal di seluruh wilayah berkenaan.

Dalam kenyataannya, Hospital Al-Awda memaklumkan telah menerima 24 mayat dan 74 orang cedera dalam tempoh 24 jam lalu akibat serangan udara Israel ke atas kem pelarian di tengah Gaza, satu lagi pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Khan Yunis melaporkan kerosakan bencana terhadap rangkaian air dan sistem kumbahan bandar tersebut, dengan 300 kilometer daripada 400 kilometer jaringan airnya musnah sepenuhnya, serta 220 kilometer daripada 300 kilometer sistem kumbahan turut hancur.

Majlis itu menambah bahawa jentera pembersihan runtuhan telah rosak teruk dan tiada peralatan baharu dibawa masuk ke Gaza sejak 2007, tahun Israel mengenakan sekatan ke atas wilayah itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Tom Fletcher, menekankan keperluan mendesak untuk membawa masuk jentolak dan jentera berat bagi mengeluarkan mangsa dari bawah runtuhan serta memulakan kerja-kerja pembinaan semula Gaza.

Perjanjian gencatan senjata itu menamatkan perang genosid yang dilancarkan Israel dengan sokongan Amerika Syarikat pada 7 Oktober 2023, yang telah mengorbankan 68,159 rakyat Palestin dan mencederakan 170,203 yang lain — kebanyakannya kanak-kanak dan wanita — serta memusnahkan 90 peratus infrastruktur awam di Gaza.

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4900″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img