PERLUMBAAN pembukaan hari ini di Grand Prix Malaysia 2025 kategori Moto3 terpaksa ditangguhkan selepas satu insiden berlaku ketika pusingan pemanasan (Sighting Lap).
Kejadian berlaku apabila Jose Antonio Rueda, juara dunia Moto3 2025, melanggar bahagian belakang motosikal Noah Dettwiler ketika kedua-dua pelumba sedang menuju ke petak permulaan.
Insiden itu menyebabkan kedua-duanya terjatuh dan menerima rawatan perubatan di tepi litar, sebelum bendera merah dikibarkan bagi menghentikan sementara perlumbaan.

Menurut Pengarah Perubatan MotoGP, kedua-dua pelumba tersebut berada dalam keadaan sedar (conscious). Pihak perubatan kemudiannya mengesahkan bahawa Rueda dan Dettwiler telah dibawa ke hospital tempatan dengan helikopter untuk pemeriksaan lanjut.
Perlumbaan Moto3 dijangka akan disambung semula selepas keadaan di litar disahkan selamat.
Rueda yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo, sepatutnya bermula di petak ketiga manakala Dettwiler di kedudukan ke-25. Rueda sebelum ini mengesahkan gelaran juara dunia Moto3 pada GP Indonesia, 5 Oktober lalu.
Berikutan insiden itu, penganjur terpaksa menjadualkan semula perlumbaan Moto3 yang sepatutnya bermula jam 12 tengah hari kepada 1.45 petang, dengan jumlah pusingan dikurangkan daripada 15 kepada 10.
Perlumbaan MotoGP kekal berlangsung pada jam 3 petang, manakala Moto2 ditunda ke jam 4.30 petang bagi memastikan keselamatan pelumba dan keadaan trek berada dalam tahap terbaik sebelum diteruskan..


