POLIS Daerah Kluang mengesahkan anggota polis yang tular merokok di sebuah restoran di daerah ini merupakan anggotanya.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya mengesan video tular terbabit petang semalam yang telah menimbulkan pelbagai persepsi buruk terhadap pasukan badan beruniform itu.
Katanya, lokasi kejadian dipercayai berlaku di Restoran Nasi Kandar AR Bistro, Taman Tasik Indah, Kluang.
“Sehubungan itu, satu siasatan tatatertib ke atas anggota terbabit akan dijalankan termasuk dari aspek penyeliaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati mencemaskan imej pasukan itu.
Sejak semalam tular satu video pendek dimuat naik di laman TikTok dua anggota polis di sebuah restoran didakwa menghisap rokok.
Video terbabit telah mengundang pelbagai reaksi negatif masyarakat.


