Tun Md Raus dilantik pengerusi jawatankuasa bebas siasat isu dokumentasi 7 pemain warisan

PERSATUAN  Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam satu kenyataan, FAM berkata, sepertimana yang diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram pada sidang media 17 Oktober lalu, sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan yang mana ia tidak akan membabitkan mana-mana individu dari FAM bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan profesional.

Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, di mana beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang bagi negeri Melaka dan Kelantan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996, kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.

Di peringkat antarabangsa pula, Md Raus memegang peranan terbilang sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf. Beliau juga merupakan ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ) yang menyumbang kepada wacana dan kerjasama undang-undang serantau.

Berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luas beliau, FAM berharap Md Raus bersama-sama ahli jawatankuasa bebas tersebut yang akan dipilih oleh beliau sendiri akan dapat sama-sama menjalankan proses siasatan secara teliti dan menyeluruh sebelum membuat satu rumusan hasil siasatan itu nanti.

Isu pemain warisan kecoh apabila bulan lalu, FAM dan tujuh pemain tersebit iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel telah dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan bahawa FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

FIFA dalam laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision bertarikh 6 Oktober 2025 menjelaskan, hukuman dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan kes pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Susulan pelanggaran itu, FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img