PASUKAN tentera Zionis terus melakukan keganasan di Tebing Barat termasuk menahan semula 15 bekas tahanan Palestin dari Kem Pelarian Aqbat Jaber di selatan Jericho awal pagi semalam, sambil turut menyerang mereka ketika serbuan berlangsung.
Dalam masa yang sama, pejuang penentangan dari Briged Saraya al-Quds, sayap tentera Jihad Islam Palestin (PIJ), meletupkan sebutir bahan letupan buatan sendiri yang menyasarkan pasukan Israel yang beroperasi di selatan Jenin. Serangan itu berlaku malam Ahad dan berjaya melumpuhkan sebuah kenderaan tentera Israel.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Isnin, briged tersebut menyatakan: “Pejuang kami meletupkan bahan letupan bawah tanah jenis (Tufan), yang telah disediakan lebih awal, pada laluan bala tentera yang menyerbu bandar Anza, dan berjaya melumpuhkan sebuah kenderaan tentera musuh.”
Dalam kenyataan memperingati ulang tahun ke-38 penubuhan PIJ pada 6 Oktober lalu, komander Briged al-Quds di Tebing Barat menegaskan bahawa perjuangan menentang pendudukan kini “memasuki fasa baharu” dengan penggunaan beberapa jenis senjata dan bahan letupan baharu.
“Musuh akan melihat dalam beberapa hari akan datang apa yang telah disiapkan oleh pejuang kami, dan dunia akan menyaksikan bahawa Tebing Barat tidak akan dapat ditundukkan,” katanya.

Di lokasi lain, Mohammad Bassam Tayaha Sha’our, 20 tahun, mati ditembak oleh tentera Israel di lintasan Meitar berhampiran bandar Adh Dhahiriya, selatan Hebron, menurut laporan Agensi Berita Palestin (WAFA) yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.
Seorang remaja berusia 15 tahun turut cedera parah selepas terkena bom bunyi yang dilepaskan oleh tentera Israel di bandar Beit Awwa, barat daya Hebron.
Pengarah Majlis Perbandaran Beit Awwa, Mohammad Masalma, memberitahu WAFA bahawa tentera menyerbu bandar itu dan menembak bom bunyi serta gas pemedih mata ke arah penduduk.
Ketika berundur, tentera telah menyasarkan Nazih Iyad Awad, pelajar Sekolah Menengah Lelaki Beit Awwa, dengan bom bunyi yang mengenai kepalanya ketika beliau keluar dari rumah. Mangsa kini dirawat di Hospital Al-Ahli, Hebron, dan keadaannya dilaporkan kritikal.
Seorang wanita turut dikejarkan ke Hospital Kerajaan Dura akibat terhidu gas pemedih mata.
WAFA melaporkan bahawa pengarah Kelab Tahanan Jericho dan Lembah Jordan, Eid Brahma, mengesahkan bahawa tentera Israel telah menyerbu Kem Pelarian Aqbat Jaber dan menahan sekumpulan bekas tahanan yang dibebaskan dalam dua bulan terakhir — kebanyakannya pernah ditahan di bawah perintah tahanan pentadbiran.
Laporan itu menyatakan bahawa para tahanan turut diserang semasa siasatan lapangan dijalankan.
Tentera Israel juga menyerbu beberapa rumah di Deir Ballut, barat Salfit, dan menahan enam rakyat Palestin. Di bandar Bidya, barat Salfit, tentera turut menyerbu rumah pemimpin Fatah, Hassan Al-Qarm, serta rumah dua anaknya — Iyad, Setiausaha Kawasan Organisasi Bidya, dan Khaled Al-Assir, bekas tahanan.
Di Al-Khader, selatan Bethlehem, beberapa pelajar Palestin cedera akibat terhidu gas pemedih mata semasa tentera Israel menyerbu kawasan itu.
Tentera melepaskan peluru hidup, gas pemedih mata, dan bom bunyi ketika para pelajar pulang dari sekolah, menurut WAFA.
Di Al-Funduq, timur Qalqilya, tentera Israel yang disertai jentolak tentera telah merobohkan sebuah rumah dua tingkat atas alasan dibina tanpa permit.
Sementara itu, mereka turut menghalang petani Palestin di Sinjil, utara Ramallah, daripada ke ladang mereka untuk menuai buah zaitun.
Menurut WAFA, sepanjang musim menuai, tanah pertanian Palestin sering diserang oleh pendatang haram Israel dan tentera, menyebabkan kerugian besar kepada para petani.
Sejak 7 Oktober 2023, sebanyak 7,154 serangan telah dilakukan oleh pendatang dan tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka di Tebing Barat, menyebabkan 33 orang terbunuh, menurut data agensi kerajaan.
Laporan itu juga menyatakan bahawa serangan-serangan tersebut telah mengakibatkan 48,728 pokok dimusnahkan atau dicabut, termasuk 37,237 pokok zaitun.


