Pengurus jadi dalang rancang dengan kekasih  rompak emas RM5.7 juta di kedai majikan sendiri di Pasir Mas

POLIS Kelantan menahan seorang lelaki yang dipercayai menyamun 10.9 kilogram (kg) emas bernilai RM5.7 juta di sebuah kedai pajak gadai Pasir Mas pada 21 Oktober lalu.

Turut ditahan ialah kekasihnya berusia 49 tahun, seorang pengawal keselamatan serta empat pekerja kedai pajak gadai tersebut.

Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati kekasih lelaki berkenaan yang merupakan pengurus kedai itu dan telah bekerja selama 17 tahun dipercayai merancang jenayah berkenaan selama sebulan.

“Pada 21 Oktober jam 1 petang, lelaki itu memasuki kedai ketika pengawal keselamatan keluar untuk menunaikan solat. Suspek bertindak menyembur cecair pembasmi kuman ke arah pekerja yang berada di dalam premis serta mengacukan pisau sebelum masuk ke bilik kebal dan melarikan barang kemas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.

Mohd Yusoff berkata,  bertindak atas aduan yang diterima, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan IPD Pasir Mas telah membuat serbuan pada jam 4 petang dan menahan empat wanita berusia antara 26 hingga 66 tahun yang merupakan pekerja kedai tersebut.

Susulan itu, pihak polis turut menahan seorang pengawal keselamatan berusia 39 tahun bagi membantu siasatan.

Mohd Yusoff berkata, hasil siasatan seterusnya membawa kepada serbuan JSJ IPK Kelantan di sebuah rumah di Rawang, Selangor pada 24 Oktober, pukul12 tengah hari.

“Seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan bersama rampasan dua bilah pisau, sebotol cecair pembasmi kuman, wang tunai RM12,880, mata wang Thai Baht 11,160 dan sebuah kenderaan pikap jenis Isuzu.

“Susulan tangkapan itu, satu lagi serbuan dilakukan pada 25 Oktober jam 8.30 malam di sebuah rumah di Panji, Kota Bharu dan polis berjaya menemui 933 plastik mengandungi pelbagai jenis barang kemas dengan anggaran berat 10.9 kg emas bernilai RM5.7 juta,” katanya.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah wang tunai RM77,198, sarung muka, cermin mata, dekoder CCTV serta menahan wanita yang merupakan pengurus kedai pajak gadai terlibat.

“Wanita ini merupakan orang kepercayaan pemilik kedai yang tinggal di Terengganu dan telah bekerja sejak bergaji RM300 sebulan sebelum meningkat kepada RM4,000 sebulan,” katanya lagi.

Menurut Mohd Yusoff, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan didapati negatif dadah serta direman bermula 25 hingga 30 Oktober bagi membantu siasatan lanjut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img