JURULATIH Liverpool, Arne Slot, menegaskan bahawa setiap perlawanan kini merupakan “mesti menang” selepas tekanan terhadap pasukannya meningkat berikutan kekalahan 3-0 kepada Crystal Palace dalam pusingan keempat Piala EFL pada Rabu.
Di Anfield, Ismaila Sarr menjaringkan dua gol lewat babak pertama sebelum Yeremy Pino menambah gol ketiga untuk memastikan kemenangan selesa buat pasukan pelawat. Liverpool terpaksa bermain dengan 10 orang selepas pemain muda Amara Nallo dilayangkan kad merah – kali kedua berturut-turut dia dibuang padang dalam penampilan kompetitif untuk kelab itu.
Kekalahan ini merupakan yang keenam dalam tujuh perlawanan terakhir buat Liverpool — satu prestasi buruk yang bermula dengan kekalahan 2-1 menentang Palace bulan lalu.
Kini, Liverpool berdepan jadual sukar dengan perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa dan Manchester City, yang diapit oleh perlawanan besar Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid, sebelum rehat antarabangsa.
Apabila ditanya oleh Sky Sports sama ada perlawanan menentang Villa dianggap “mesti menang”, Slot menjawab,;“Setiap perlawanan Liverpool adalah mesti menang.”
Walaupun pasukannya bergelut, Slot memilih untuk menurunkan barisan pemain muda yang digabungkan dengan beberapa pemain simpanan skuad utama. Jurulatih dari Belanda itu menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana jadual perlawanan yang terlalu padat.
Slot berkata, “Ini bukan standard Liverpool untuk kalah lima daripada enam, bukan juga standard Liverpool untuk kalah enam daripada tujuh, jadi tekanan mungkin meningkat sedikit, tetapi tidak terlalu banyak kerana tekanan itu sudah pun tinggi untuk minggu yang akan datang.”
“Namun mungkin perkara baiknya ialah buat pertama kali kami boleh menghadapi tiga perlawanan ini dalam tempoh lapan hari, sedangkan sebelum ini hanya tujuh hari.” Kami bermain malam ini, hanya dua hari rehat, bermain lagi, dua hari rehat lagi, dan kemudian beberapa hari tambahan sebelum bertemu Man City.”
“Semua orang boleh ada pendapat masing-masing tentang barisan pemain yang saya pilih, tetapi dengan hanya 15 atau 16 pemain pasukan utama yang tersedia, inilah keputusan yang saya perlu buat.”


