SEPASANG kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan barang kemas dianggar bernilai RM5.76 juta dan bersubahat dengan perbuatan itu, pada 21 Oktober lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh iaitu Wee Chin Ooi, 59, dan teman wanitanya, Wee Fei Fang, 57, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan, Chin Ooi didakwa melakukan rompakan barang kemas dianggar bernilai RM5.76 juta dan ketika kejadian, lelaki itu menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita.
Kejadian itu didakwa dilakukan di Kedai Pajak Gadai Aik Lee Jaya Sdn Bhd di Jalan Besar, dekat Pasir Mas pada jam 1 tengah hari, 21 Oktober lalu.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 392 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan perlu juga disebat, lapor Buletin Utama TV3
Fei Fang pula didakwa mengikut Seksyen 392 dibaca bersama Seksyen 397 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Chin Ooi yang melakukan rompakan barang kemas itu dengan nilai, pada tempat, masa dan tarikh sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam K M Maalinni.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah tidak mencadangkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan memohon tarikh untuk serahan dokumen.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Terdahulu media melaporkan, pengurus premis pajak gadai dan teman lelakinya ditahan selepas dipercayai menjadi dalang rompakan di premis tempat dia bekerja dengan melarikan barang kemas bernilai RM5.7 juta, di Pasir Mas, Selasa lalu.


