MAJLIS Menteri Besar SG4 yang dianggotai oleh Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis menegaskan sebarang pelan pembangunan sumber mineral nadir bumi (REE) peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan menyertakan wakil negeri-negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.
Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka turut berpandangan bahawa pembangunan industri REE negara harus dilaksanakan di negeri pemilik sumber tersebut supaya limpahan ekonomi dan ekosistem industri turut dinikmati rakyat setempat.
‘’Hasil negeri juga tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata, tetapi mesti melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri dan rakyatnya,’’ kata kenyataan tersebut.
Kenyataan bersama itu dibuat oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ser Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
SG4 menegaskan REE yang terdapat di dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri sebagaimana termaktub di bawah Jadual Kesembilan (9), Perlembagaan Persekutuan.
‘’Dengan gabungan empat negeri ini mewakili 70% sumber REE terbesar negara, SG4 komited untuk memastikan hasil kekayaan bumi ini diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat dan generasi akan datang,’’ kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, setiap negeri di bawah SG4 kini melaksanakan kajian terperinci serta membangunkan pelan strategik pengurusan dan pembangunan REE yang diselaraskan secara bersama.
‘’Pelan ini meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan tempatan. Polisi semasa juga menetapkan mineral kritikal ini kekal di dalam SG4 dengan menarik penyertaan pelbagai pihak industry dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri,’’ kata kenyataan berkenaan.
Selari dengan Aspirasi Persekutuan SG4 juga menyatakan sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri nadir bumi Malaysia.
‘’Kami memahami keperluan untuk mewujudkan rantaian nilai menyeluruh dari penerokaan hingga kepada pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan REE yang bernilai tinggi.
‘’Namun demikian, SG4 menegaskan bahawa sebarang perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri, ‘’ tegas mereka.
SG4 berkata, mereka sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati.
‘’Namun, kami juga menuntut agar pengalaman lampau berhubung perjanjian royalti minyak tidak berulang dalam konteks industri REE. Pengurusan dan pembahagian hasil perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang,’’ kata mereka.


