Raja Charles  cabut semua gelaran diraja adiknya, Putera Andrew berikutan kontroversi hubungan dengan pesalah seks

ISTANA Buckingham semalam mengumumkan bahawa Raja Charles III telah memulakan proses rasmi untuk mencabut semua gelaran, kehormatan, dan hak istimewa diraja yang dimiliki oleh adiknya, Putera Andrew, selepas timbul semula kontroversi berkaitan hubungannya dengan mendiang pesalah seks terkenal, Jeffrey Epstein.

Keputusan yang dianggap paling tegas dalam sejarah moden monarki Britain itu turut disertai arahan agar Putera Andrew segera meninggalkan kediaman mewahnya, Royal Lodge, yang terletak di kawasan eksklusif Windsor.

 Menurut kenyataan rasmi istana, hak sewanya ke atas kediaman bersejarah itu telah ditamatkan, dan beliau akan dipindahkan ke sebuah rumah persendirian di kawasan Sandringham.

Dalam kenyataan bertulis yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham, pihak istana menegaskan bahawa,

“Yang Mulia Raja Charles III telah memulakan proses rasmi untuk mencabut semua gelaran, gaya, dan kehormatan yang dikurniakan kepada Putera Andrew. Langkah ini mencerminkan keazaman baginda untuk memelihara integriti dan maruah institusi diraja.”

Sejak keputusan itu diumumkan, Andrew kini hanya dikenali dengan nama Andrew Mountbatten-Windsor, tanpa sebarang gelaran diraja.

Langkah keras ini diambil selepas penerbitan buku “Nobody’s Girl”, memoir pasca-kematian Virginia Giuffre, wanita yang pernah menuduh Andrew melakukan serangan seksual terhadapnya ketika beliau masih remaja.

Giuffre, yang meninggal dunia pada April lalu pada usia 41 tahun, pernah menjadi saksi penting dalam kes melibatkan Epstein, seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat yang disabitkan kesalahan menjalankan rangkaian eksploitasi seks.

Walaupun Andrew menafikan semua tuduhan dan menyifatkannya sebagai “tidak berasas sama sekali”, sumber diraja menyatakan bahawa Raja Charles melihat perkara itu sebagai “kesilapan pertimbangan yang serius” yang menjejaskan reputasi institusi monarki.

Raja Charles dikatakan turut mengambil langkah ini atas dasar peribadi bagi menegakkan prinsip kebertanggungjawaban dalam keluarga diraja, di samping mengurangkan tekanan awam terhadap institusi tersebut.

Keluarga mendiang Giuffre menyambut keputusan itu dengan penuh emosi. Dalam kenyataan media, mereka menyebut,

“Hari ini, seorang gadis biasa dari Amerika telah berjaya menundukkan seorang putera Inggeris – bukan dengan kuasa, tetapi dengan kebenaran dan keberaniannya.”

Sementara itu, kumpulan anti-monarki Republik menyambut baik tindakan Raja Charles tetapi menegaskan ia belum mencukupi. Ketua Eksekutifnya, Graham Smith, berkata,

“Kehilangan gelaran bukanlah bentuk keadilan. Kita mesti memastikan bahawa anggota keluarga diraja juga tertakluk kepada undang-undang seperti rakyat biasa.”

Beliau turut mengumumkan rancangan untuk memfailkan tuntutan undang-undang terhadap Andrew atas dakwaan salah guna kedudukan awam serta pelanggaran undang-undang jenayah.

Puteri-puteri Andrew, Puteri Beatrice dan Puteri Eugenie, dilaporkan akan kekal menyandang gelaran mereka berdasarkan peraturan pewarisan yang sedia ada. Manakala bekas isterinya, Sarah Ferguson, yang masih tinggal bersamanya selama lebih dua dekad, turut diarahkan meninggalkan Royal Lodge dan akan memulakan kehidupan baharu di luar lingkungan istana.

Menurut laporan media Britain, Andrew membeli Royal Lodge pada tahun 2003 dengan harga sekitar AS$1 juta (kira-kira RM4.7 juta) dan hanya membayar sewa simbolik setiap tahun – sesuatu yang kini mencetuskan persoalan tentang ketelusan kewangan dalam keluarga diraja.

Tindakan Raja Charles ini disifatkan sebagai langkah paling keras terhadap anggota keluarga diraja Britain dalam tempoh lebih 100 tahun, selepas gelaran Duke of Albany dilucutkan daripada Putera Charles Edward pada tahun 1917 kerana memihak kepada Jerman ketika Perang Dunia Pertama.

Walaupun Andrew masih berada di tempat kelapan dalam senarai pewaris takhta, kedudukannya itu hanya boleh dihapuskan melalui pindaan undang-undang yang memerlukan persetujuan semua negara Komanwel – satu proses yang rumit dan panjang.

Pemerhati diraja berpendapat keputusan ini menandakan era baharu di bawah pemerintahan Raja Charles III, yang mahu memastikan institusi monarki kekal berwibawa, bebas skandal, dan lebih selaras dengan nilai moral masyarakat moden.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img