Zambry beri bayangan rombakan Kabinet dalam 2 atau 3 minggu lagi?

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membayangkan rombakan Kabinet mungkin berlaku dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi, mengambil kira kedudukan beberapa jemaah menteri sebagai Ahli Dewan Negara.

Berucap pada penutupan Festival Idea Putrajaya (FOI), beliau yang mengangkat sumpah sebagai Senator pada Disember 2022 turut mengakui belum lagi mengetahui nasibnya.

Zambry berharap sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penganjuran festival berkenaan bagi tahun akan datang meskipun nasib beliau sebagai menteri Kabinet tidak diketahui.

“Sama ada saya masih menjadi menteri Kabinet atau pun tidak, itu soal nombor dua. Ini adalah agenda negara.

“PM (Anwar) senyum saja bagi isyarat, sebab saya pun tak lama dua tiga minggu ja lagi,” katanya berucap pada majlis itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, memetik laporan Free Malaysia Today.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut namun berseloroh: “Tolong bagi cadangan (kepada saya) kalau ada,” menjawab jika senarai Kabinet baharu telah ada.

Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah sebagai Senator pada 2 Disember 2022 sebelum dilantik sebagai Menteri Luar Negeri dan seterusnya sebagai Menteri Pendidikan Tinggi.

Turut mengangkat sumpah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul, satu-satunya Senator yang berkhidmat selama dua penggal berbanding tiga yang lain.

Mengikut keterangan di laman web Parlimen, tempoh mengisi jawatan bagi Ahli Dewan Negara adalah selama tiga tahun

Ahli itu hanya boleh dilantik semula sekali lagi sahaja, secara berturut mahupun tidak. Kali pertama Anwar merombak Kabinet pada 12 Disember 2023.

Rombakan terbaharu diperlukan bagi mengisi dua kekosongan ditinggalkan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam).

Kedua-duanya meletak jawatan selepas kalah pada pemilihan PKR, Mei lalu.

Portfolio Hal Ehwal Ekonomi kini dipangku Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan manakala Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani memangku portfolio Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img