KEMENTERIAN Komunikasi menyifatkan laporan Reuters yang mendakwa syarikat media sosial Meta memperoleh keuntungan daripada aktiviti dalam talian haram seperti penipuan dan iklan perjudian sebagai ‘amat membimbangkan’.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan laporan itu sebagai ‘sangat besar kesannya’ dan kerajaan akan memanggil Meta untuk memberikan penjelasan penuh.
“Jika benar, perkara ini sangat membimbangkan kerana memberi gambaran seolah-olah salah satu punca keuntungan Meta datang daripada aktiviti haram yang melanggar undang-undang, termasuk di Malaysia,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, dari 1 Januari hingga 15 Oktober tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membelanjakan jumlah masa kerja bersamaan 22.2 tahun hanya untuk memohon kandungan haram dipadamkan daripada platform Meta.
Reuters sebelum ini melaporkan dokumen dalaman Meta menunjukkan kira-kira 10% daripada pendapatan syarikat itu pada 2024 datang daripada iklan penipuan dan barangan terlarang.
Salah satu dokumen bertarikh Disember 2024 turut menyatakan Meta menyiarkan kira-kira 15 bilion iklan berisiko tinggi setiap hari, yang dianggarkan membawa lebih kurang USD 16 bilion setahun kepada syarikat itu.
Fahmi berkata, Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian yang akan diperkenalkan akan mewajibkan platform seperti Meta menghalang kandungan penipuan, penyelewengan dan perjudian daripada tersebar di Malaysia.
“Jika mereka gagal, tindakan boleh diambil,” katanya.


