Warga Indonesia seludup rakan senegara dihukum penjara dua tahun

SEORANG lelaki warga Indonesia dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas disabitkan kesalahan menyeludup empat migran senegara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, lelaki itu yang berusia 31 tahun disabitkan kesalahan Seksyen 26H, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Tangkapan dibuat hasil operasi khas yang dijalankan oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Operasi dilaksanakan di Jalan Putra Pangsapuri Mawar, Taman Putra Kajang, Selangor pada 29 Ogos 2025, di mana suspek bersama empat migran ditemukan di dalam sebuah rumah di alamat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen akan terus memberi komitmen tegas dan berterusan dalam membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.

“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan, atau pemilik premis yang menggaji, melindungi, atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta warganegara asing yang memasuki atau tinggal di negara ini tanpa kebenaran sah,” katanya.

Jabatan itu juga tegas beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah rentas sempadan ini.

“Sebarang bentuk pembabitan sama ada secara langsung atau tidak dalam aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang adalah satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Masyarakat digesa untuk tidak melindungi atau membantu pihak yang melanggar undang-undang imigresen, dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, maklumat berkaitan kegiatan haram boleh disalurkan melalui saluran rasmi aduan Jabatan Imigresen.

“Jabatan ini komited untuk terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img