PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis kritikan seorang bekas jeneral tentera Thailand terhadap peranannya dalam perjanjian damai Thailand-Kemboja, menyifatkan individu itu ‘tidak pernah menang pun’ pada pilihan raya.
Anwar berkata, ‘sangat tidak cerdik’ untuk melayan komen bekas pegawai tentera itu.
“Orang tu macam (daripada) parti Pejuang (di negara dia), bertanding tak pernah menang. Bukan sahaja tak pernah menang (mana-mana kerusi), tapi hilang deposit, macam Pejuang,’’ katanya di Cherok Tok Kun hari ini, lapor FMT.
Dalam sebuah video, bekas Ketua Stesen Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thai (Channel 5) Jeneral Rangsi Kitiyanasap menuduh Anwar menyebabkan kerugian ekonomi kepada Thailand melalui Perjanjian Damai Kuala Lumpur, mendakwa ia membenarkan campur tangan Amerika Syarikat dalam ekonomi Thailand.
Rangsi mengetuai Parti Ekonomi, sebuah parti sayap kanan yang tidak mempunyai perwakilan di Perhimpunan Kebangsaan Thailand.
Mengulas komen Rangsi, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin memberitahu Dewan Rakyat pada Khamis, kerajaan tidak akan melayan kenyataan daripada individu yang tidak mempunyai sebarang ‘autoriti diplomatik’.


