PENYANYI dan pengarah kontroversi, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita Taiwan di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Namewee dibebaskan sehingga 26 November ini sementara menunggu laporan bedah siasat ke atas wanita itu diperoleh.
“Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas laporan bedah siasat diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar semalam dilaporkan memberitahu media, selepas meneliti kertas siasatan, Jabatan Peguam Negara mendapati tiada bukti menunjukkan lelaki berusia 42 tahun itu terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.
Namun katanya, sekiranya terdapat penemuan baharu hasil siasatan lanjut, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya.
Namewee sebelum ini direman selama enam hari bermula 5 November sebelum tempoh remannya disambung tiga hari lagi sehingga Khamis bagi membantu siasatan.
Berdasarkan siasatan awal, polis memaklumkan Namewee dipercayai mempunyai hubungan istimewa dengan mangsa, dan mereka dilaporkan pernah bersama ketika berada di luar negara sebelum kejadian berlaku.
Mangsa, Hsieh Yun Hsin, 33, ditemukan mati dalam tab mandi di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu.
Kes berkenaan pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun kemudiannya disiasat semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas polis mendapati Namewee merupakan individu terakhir yang dilihat bersama mangsa sebelum kematiannya.


