ENGLAND mengekalkan rekod sempurna dalam kelayakan Piala Dunia mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Serbia hasil gol daripada Bukayo Saka dan Eberechi Eze.
Dengan tempat England di kejohanan itu sudah terjamin, tumpuan sebelum perlawanan lebih banyak diberikan kepada kenyataan Thomas Tuchel bahawa Jude Bellingham dan Phil Foden tidak boleh bermain bersama kapten Harry Kane. Bagaimanapun kedua-duanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua di Wembley.

Salah seorang bintang utama England memecahkan kebuntuan pada minit ke-28, apabila Saka melakukan voli kemas melepasi Predrag Rajkovic selepas penjaga gol Serbia itu menepis bola lambung daripada Nico O’Reilly.
The Three Lions hampir menambah jaringan kedua beberapa kali pada separuh masa pertama, dengan Nikola Milenkovic hampir tertampan hantaran lintang O’Reilly ke dalam gawang sendiri tandukan Kane tersasar.
Bellingham menerima sorakan gemuruh daripada penyokong tuan rumah apabila dimasukkan pada minit ke-65.
Selepas Lazar Samardzic melepaskan percubaan tersasar untuk Serbia, kedua-dua pemain yang sama—Foden dan Eze—bergandingan untuk gol kedua England pada minit terakhir masa permainan sebenar. Foden mara ke hadapan sebelum melorongkan bola kepada Eze di penjuru kiri kotak penalti, dan Eze melengkungkan satu penyudah cantik ke penjuru kanan gawang.
Gol itu memadamkan terus harapan Serbia untuk layak ke Piala Dunia, selepas kemenangan 1-0 Albania di Andorra memastikan mereka tidak lagi boleh menamatkan saingan di tempat kedua untuk mara ke play-off.
Saka dan Eze kedua-duanya berada dalam prestasi cemerlang bersama England sejak kebelakangan ini, dengan Saka kini mencatat penglibatan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut buat pertama kali (dua gol, satu bantuan).
Eze pula menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut buat pertama kali, selepas hanya menjaringkan sekali dalam 13 aksi antarabangsa senior sebelum ini.
Ini hanyalah kali kelima dua pemain Arsenal menjaringkan gol dalam perlawanan yang sama untuk England, dan yang pertama sejak Saka dan Emile Smith Rowe menjaringkan gol menentang San Marino pada 2021.


