Perancis layak ke Piala Dunia, Mbappe buru rekod 1000 gol Ronaldo

PENYERANG  sensasi Perancis, Kylian Mbappe mengakui pencapaian 400 gol dalam kariernya masih belum cukup mengagumkan dan menyasarkan untuk meniru rekod luar biasa Cristiano Ronaldo yang kini memburu 1,000 gol.

Mbappe meledak dua gol ketika membantu Perancis membelasah Ukraine 4-0 di Parc des Princes, sekali gus mengesahkan tiket mereka ke Piala Dunia 2026. Dua jaringan itu melengkapkan koleksi 400 golnya untuk kelab dan negara.

Pemain Real Madrid itu turut menghampiri rekod penjaring terbanyak Perancis milik Olivier Giroud, apabila kini mengumpul 55 gol dan hanya dua gol di belakang rekod 57 jaringan. Perancis akan berdepan Azerbaijan di Baku pada Ahad.

Di peringkat kelab, Mbappe merekodkan 345 gol – 27 bersama Monaco, 256 ketika bersama Paris Saint-Germain dan 62 setakat ini bersama Real Madrid.

Ketika ditanya mengenai pencapaiannya, Mbappe berkata angka 400 gol bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah menegaskan sasaran jangka panjangnya ialah mengejar rekod Ronaldo yang kini memiliki 953 gol dalam karier.

“Sekarang, 400… orang tak kagum pun. Jika mahu berada dalam kelompok yang benar-benar mengejutkan, saya kena jaringkan 400 lagi. Rekod 1000 gol Ronaldo? Itu luar biasa, tapi kita mesti cuba perkara luar biasa. Kita hanya ada satu karier,” katanya kepada TF1.

Perancis kini layak ke Piala Dunia buat kali kelapan berturut-turut dan Mbappe menegaskan pencapaian itu tidak wajar dianggap perkara biasa.

Mbappe, yang menjaringkan hatrik dalam final Piala Dunia 2022, berkata beliau mahu membawa prestasi terbaiknya ke kejohanan tahun depan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

“Bermain di Piala Dunia adalah sesuatu yang istimewa. Kami ke sana untuk menang dan cuba menambah bintang ketiga di jersi Perancis,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img