KEMENTERIAN Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin mengecam serangan pembakaran yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap Masjid Hajja Hamida, yang terletak antara bandar Kafr Haris dan Deir Istiya, di barat laut Salfit, Ramallah.
Dalam satu kenyataan, kementerian menyatakan bahawa jenayah tersebut merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap kesucian rumah ibadat dan satu manifestasi jelas mengenai rasisme mendalam yang kini menguasai tingkah laku Israel .
Kementerian itu menegaskan bahawa jenayah tersebut merupakan satu peningkatan berbahaya dan kesinambungan serangan Israel yang sistematik dan meluas terhadap rakyat Palestin serta tapak suci Islam dan Kristian.
“Ia adalah cerminan langsung kepada dasar hasutan dan ekstremisme yang diterapkan oleh kerajaan Israel dan pelbagai cabangnya, yang berusaha mengubah landskap keagamaan di wilayah Palestin yang diduduki bagi memenuhi projek penempatan kolonial serta menakut-nakutkan dan mengusir rakyat Palestin.” kata Kementerian tersebut, lapor agensi berita Palestin, WAFA.
Kementerian menyifatkan kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya dan secara langsung atas jenayah ini serta akibatnya, sambil menegaskan bahawa budaya tidak dihukum terhadap Israel menjadi dorongan jelas untuk pengulangan serangan serupa yang bertujuan mengusir dan memusnahkan rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis.
‘’Kementerian ini menyeru masyarakat antarabangsa, termasuk semua negara dan organisasi antarabangsa, untuk mengambil langkah segera dan mengikat bagi melindungi rumah ibadat dan tapak suci di Palestin yang diduduki.
‘’ Ini termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang seharusnya menangani serangan keji ini sebagai sebahagian daripada serangan sistematik terhadap rakyat Palestin, tapak suci mereka, serta warisan agama dan budaya mereka,’’ katanya.
Kementerian tersebut turut menegaskan bahawa Negara Palestin akan meneruskan usaha politik, undang-undang, dan diplomatik di semua forum antarabangsa untuk memastikan para pelaku jenayah ini dibawa ke muka pengadilan.
‘’Kami juga akan menggerakkan sokongan antarabangsa bagi usaha menamatkan penjajahan dan mencapai keamanan yang adil berdasarkan undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,’’ katanya.


