MB Selangor diminta jawab pegawainya didakwa kaya luar biasa

KEKAYAAN yang dianggap luar biasa oleh seorang pegawai Menteri Besar mula mencetuskan kontroversi apabila Datuk Seri Amirudin Shari diminta menjawab isu yang berbangkit dalam satu kumpulan WhatsAPP.

Memetik laporan FMT,  Amirudin telah diminta menjawab persoalan mengenai perkara kekayaan pegawai itu  yang dipercayai turut memegang terlalu terlalu banyak jawatan di bawah kerajaan negeri.

Permintaan itu dibuat dalam satu kumpulan WhatsApp ‘MB Selangor’ yang diwujudkan khas untuk tujuan tersebut dan dikendalikan oleh seorang pentadbir yang hanya dikenali sebagai ‘Madani’.

Selain Amirudin, yang nombor telefonnya telah disahkan, kumpulan sembang itu turut disertai beberapa Adun Selangor daripada kerajaan dan pembangkang, beberapa pemimpin parti politik, serta sekurang-kurangnya dua wartawan, termasuk seorang daripada FMT.

Dalam kumpulan itu, ‘Madani’ menyampaikan mesejnya secara langsung kepada Amirudin, menggesa menteri besar supaya ‘menjawab dengan jujur dan adil’.

‘Madani’ juga mendakwa pegawai tersebut telah ‘menjadi jutawan’ sejak Amirudin memegang jawatan, memiliki sebuah rumah banglo bernilai RM3 juta dan membawa keluarganya bercuti mewah ke luar negara.

Selain memegang jawatan kanan dalam pentadbiran negeri, ‘Madani’ mendakwa pegawai itu juga berkhidmat sebagai penyelaras kawasan dan menjadi ahli lembaga sebuah syarikat milik kerajaan negeri serta sebuah kelab golf ternama. Pegawai itu juga dikatakan hampir dilantik ke lembaga sebuah lagi agensi negeri Selangor.

‘Madani’ meminta Amirudin menjelaskan mengapa ‘seorang individu dilantik ke begitu banyak jawatan’, sambil menambah bahawa ia menimbulkan persepsi bahawa ‘tiada orang lain di Selangor yang layak’.

Menteri besar itu turut diminta mendedahkan jumlah pendapatan bulanan pegawai berkenaan.

Perbualan dalam kumpulan tersebut juga mengandungi beberapa dakwaan lain, termasuk bahawa pegawai itu telah meminta ‘dana pembangunan’ daripada pelbagai kontrak dan mendapatkan manfaat daripada beberapa projek daerah.

Setakat ni Amirudin belum memberi sebarang kenyataan atau komen berhubung perkara itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img