HUJAN lebat yang melanda Semenanjung Gaza sejak awal Jumaat telah membanjiri puluhan kem penempatan pelarian, sekali lagi mendedahkan lebih 1.5 juta penduduk yang dipindahkan kepada keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing.
Pertahanan Awam Gaza melaporkan bahawa berpuluh-puluh khemah di kawasan Al-Mawasi, barat Khan Younis, telah ditenggelami air, dengan pasukan kecemasan kini bertindak balas terhadap puluhan khemah lain yang turut terjejas.
Insiden itu berlaku ketika Hamas menggesa penjamin perjanjian gencatan senjata — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) — supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan bantuan kemanusiaan, perubatan dan perlindungan dapat memasuki Gaza.
Hamas dalam kenyataan menegaskan keadaan di lapangan semakin membimbangkan dan menuduh Israel berterusan menghalang kemasukan bekalan perlindungan, termasuk khemah dan unit perumahan bergerak, meskipun termaktub dalam perjanjian gencatan senjata.

Pejabat Media Kerajaan Gaza pula memberi amaran bahawa ketibaan musim sejuk telah memburukkan keadaan penghuni kem, dengan kira-kira 1.5 juta penduduk tinggal dalam khemah sementara yang tidak lagi mampu menampung keadaan cuaca ekstrem.
Sebelumnya, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal, memberitahu Al Jazeera bahawa ribuan khemah telah dinaiki air, menyifatkan keadaan sebagai “bencana”. Beliau berkata Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 450,000 khemah baharu untuk menampung jumlah pelarian yang kian meningkat.
Jurucakap PBB Stéphane Dujarric dalam satu kenyataan berkata pihaknya bimbang keluarga-keluarga di Gaza terus terdedah kepada cuaca sejuk dan hujan, sambil memaklumkan bahawa Israel telah menolak 23 permohonan kemasukan bekalan penting sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober.
“Berjuta-juta unit bekalan perlindungan masih tersekat di Jordan, Mesir dan Israel menunggu kelulusan,” katanya.
UNRWA turut memberi amaran bahawa hujan lebat telah memburukkan keadaan di kawasan penempatan pelarian, memaksa keluarga-keluarga mencari perlindungan alternatif di struktur sementara dan khemah buatan sendiri. Agensi itu menggesa agar bekalan yang sudah berada dalam simpanan mereka dibenarkan untuk diedarkan segera.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, kira-kira 93 peratus daripada 135,000 khemah di seluruh Gaza kini tidak lagi sesuai didiami — sama ada musnah akibat pengeboman Israel atau rosak kerana cuaca ekstrem sepanjang hampir dua tahun konflik.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Oktober, Israel dilaporkan masih menghalang kemasukan bekalan perlindungan asas. Kempen ketenteraan Israel yang bermula pada 8 Oktober 2023 mengorbankan lebih 69,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 170,000 yang lain, di samping memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur awam di Gaza.


