
APABILA tersebar berita bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Bukit Damansara, pelbagai spekulasi bertebaran.
Sememangnya ia menjadi tumpuan kerana Bersatu bukan seperti parti-parti lain ketika ini, sejak sebulan lalu parti tersebut dilanda pergolakan. Dua ahli Parlimen dikenakan tindakan disiplin iaitu Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dipecat manakala Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fasyhal Wan Ahmad Kamal digantung sepenggal.
Tindakan disiplin itu dikaitkan dengan pertembungan antara kumpulan menyokong Muhyiddin dan kumpulan menyokong Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Paling menarik perhatian Hamzah juga dikhabarkan dipanggil oleh Lembaga Disiplin, namun Ahli Parlimen Larut itu tidak hadir kerana lebih mengutamakan tugas mengemudikan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketika Hamzah sedang bertungkus lumus di Sabah dan bersama-sama dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang turun berarak bersama calon-calon PN, tersebar berita Hamzah akan digantikan sebagai Ketua Pembangkang. Tempat beliau akan diambil alih oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Jidin.
Sehubungan itu, pertemuan malam tadi dikaitkan dengan spekulasi tersebut. Sebenarnya, kalau mahu menggantikan Ketua Pembangkang, pertemuan Muhyiddin sepatutnya bukan dengan ahli Parlimen Bersatu sahaja sebaliknya paling penting dengan ahli-ahli Parlimen Pas.
Ini kerana selain Pas mempunyai kerusi Parlimen lebih banyak daripada Bersatu, pemilihan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dicadangkan (dipilih) oleh Pas bukan Bersatu atau Muhyiddin.
Oleh itu tidak munasabah, kalau Muhyiddin mahu menggantikan Hamzah dengan hanya mendapat persetujuan ahli Parlimen Bersatu. Muhyiddin perlu mendapat restu atau sokongan Pas untuk berbuat demikian. Daripada mahu menggantikan Hamzah lebih baik Pas sahaja mengambil alih jawatan tersebut.
Namun isu penggantian itu hanya andaian politik yang dicetuskan oleh kelompok ‘batu api’ yang mahu memecah belahkan Bersatu dan tidak mustahil juga ia datang daripada dalam kalangan parti itu sendiri.
Tetapi apapun semuanya setakat ini hanya sekadar spekulasi apabila pertemuan Muhyiddin dengan ahli Parlimen Bersatu menyaksikan mereka menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu.
Pendirian 18 ahli Parlimen berkenaan dipaparkan melalui klip video selepas mesyuarat berkenaan berakhir. Dalam video itu, Hamzah dan Radzi mengetuai laungan “Kami sokong Presiden’ sebelum mereka semua meninggalkan kediaman Muhyiddin sekitar pukul 11.19 malam.
Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, beritahu pemberita bahawa mereka membincangkan PRN Sabah pada 29 November serta tentang mengukuhkan parti.
“Kami tak bincang pun tentang penggantian ketua pembangkang,” katanya, di sebalik penyebaran surat tular, kononnya mendesak Radzi menggantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.
Kenyataan itu buat sementara akan meredakan keadaan politik dalam Bersatu kerana hanya kelompok tidak cerdik sahaja yang mahu ‘berpolitiking’ sehingga menjejaskan parti sedangkan jentera parti sedang bertarung di PRN Sabah.


