SEORANG lelaki yang dikatakan sedang makan di sebuah restoran maut selepas diserang dan ditembak sekumpulan individu menaiki kereta berhampiran sebuah restoran di Nusari Biz Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu, mangsa yang sedang makan tiba-tiba dilihat berlari ke seberang jalan dan orang awam turut mendengar bunyi tembakan sebelum mangsa rebah.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 11.23 malam.
“Semasa anggota bertugas di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban telah terima penggilan kecemasan 999 daripada sorang lelaki memaklumkan satu kes bunuh telah berlaku di sebuah restoran di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.
Orang awam yang ditemui di lokasi pada jam 1 pagi memaklumkan, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang makan sebelum didatangi dua kenderaan.
Menurut Azahar, kes ini masih dalam siasatan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan.
Sementara itu, menerusi aplikasi Thread, penduduk di kawasan itu memaklumkan mangsa turut mengalami kecederaan pada tangan akibat ditetak selepas dia terbaring ditembak dalam kejadian itu.


