PEMANDU dan penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan buah di Kilometer 141.5, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Bukit Mertajam, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mereka yang maut ialah Mohammad Nizar Abdul Rahman, 32, dan Muhammad Fakhrur Razi Usri, 31.
Menurut beliau, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.22 malam.
“Kemalangan melibatkan MPV Toyota Estima dan lori membawa muatan buah dengan dua mangsa MPV tersepit manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.
John berkata, mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 11.56 malam oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan menggunakan peralatan khas.
Mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan mayat diserahkan kepada polis.


