Mane nafi tidak pernah akrab dengan Salah, anggap Firmino luar biasa

KETIKA menjadi tetamu program  prodcast Rio Ferdinand Presents,  Sadio Mane bercerita mengenai hubungannya dengan bekas rakan sepasukan Liverpool, Mohamed Salah.

Bintang Senegal itu yang menyertai Liverpool pada 2016, setahun sebelum pemain Mesir itu tiba juga mendedahkan bagaimana mereka mendamaikan perselisihan dalam perlawanan menentang Burnley.

Bersama Roberto Firmino, mereka membentuk trio serangan yang sangat berbahaya dan memenangi semua trofi utama sepanjang tempoh mereka di Anfield. Mane meninggalkan Liverpool untuk menyertai Bayern Munich pada 2022.

Trio tersebut membantu Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara pada 2019 dan seterusnya memenangi Liga Perdana, Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super Eropah pada musim 2019/20.

 Bagaimanapun, dalam kunjungan awal musim ke Turf Moor pada Ogos 2019 — perlawanan yang menyaksikan Liverpool menang 3-0 ke atas Burnley — Mane dan Salah terlibat dalam satu insiden tegang.

Mane, yang sudah menjaringkan gol, jelas kecewa apabila Salah memilih untuk cuba menjaringkan gol sendiri dan gagal, sedangkan Mane tidak dikawal dan menunggu bola. Tidak lama selepas itu, Mane dikeluarkan dan menunjukkan kemarahan di tepi padang.

Video pemain Liverpool kembali ke bilik persalinan selepas perlawanan turut tular, memperlihatkan Firmino tersenyum nakal ke arah kamera sambil berjalan di antara Mane dan Salah.

Insiden itu sering dijadikan bukti bahawa Mane dan Salah tidak pernah benar-benar akrab ketika bersama di Liverpool.

Namun, Mane menafikan dakwaan tersebut dalam podcast berkenaan dan menceritakan apa yang berlaku selepas insiden di Turf Moor — serta bagaimana ia sebenarnya membuatkan mereka menjadi lebih rapat.

“Pemain hebat. Pemain yang sangat bagus. Semua orang kata perkara yang sama bahawa ada persaingan. Tapi bagi saya, itu bukan perkara buruk.

“Saya seorang yang tenang, tetapi saya mesra dengan semua orang dalam pasukan. Saya memang macam itu. Dan saya rasa Mo juga seorang yang baik. Dia seorang yang baik. Dalam padang, kadang-kadang dia hantar bola kepada saya, kadang-kadang tidak; kadang-kadang ya, kadang-kadang tidak.

“Tapi tahu tak, hanya Bobby yang selalu berkongsi bola. Kadang-kadang macam itu. Saya masih ingat perlawanan menentang Burnley yang membuatkan saya sangat marah kerana dia (Salah) tak hantar bola kepada saya, walaupun dia sepatutnya boleh berbuat demikian.

“Saya menonton semula perlawanan itu, dan saya tengok muka anda (Ferdinand). Itu yang buat saya sangat marah selepas perlawanan.

“Keesokan harinya dia datang kepada saya. Dia nak bercakap dengan saya, tapi tak tahu bila dan bagaimana nak mula. Dia fikir saya masih marah sebab kami tak jumpa selepas perlawanan — masing-masing balik. Jadi keesokan harinya dia datang dan berkata, ‘Boleh kita bercakap?’

“Saya kata, ‘OK, tiada masalah, mari.’’

Dia berkata:  ‘Awak fikir saya tak nak hantar bola kepada awak?. Saya pun tak menjaringkan gol. Bobby yang menjaringkan. Tapi masa saya dapat bola, saya langsung tak fikir atau nampak awak. Saya cuma nak cuba jaringkan gol. Tapi saya tak ada apa-apa (masalah) terhadap awak. Kalau saya nampak awak dan boleh hantar, sudah tentu saya akan buat..”

“Saya jawab, ‘Tak apa. Dah berlalu. Saya marah sebab saya rasa awak boleh hantar lebih banyak dengan kualiti yang awak ada.”

Saya rasa sejak hari itu kami jadi lebih rapat. Kadang-kadang ia berlaku lagi, tapi sebagai penyerang, Mo bila nampak bola, dia tak nampak sesiapa.

“Jadi bagi saya, dia tak buat begitu kerana peribadi. Dia cuma nak jaringkan gol, gol, gol. Dan saya cakap kepadanya, ‘Mo, saya tahu awak nak jadi penjaring terbanyak. Saya boleh bantu awak. Saya ada di sini untuk bantu kerana saya tak ada masalah itu. Saya akan bantu awak lebih banyak.’”

Walaupun Mane pernah bertegang dengan Salah, hubungannya dengan Firmino atau  Bobby jauh berbeza. Ketika diminta Ferdinand untuk memilih pasukan lima sebelah impiannya daripada bekas rakan sepasukan, Mane memilih Firmino serta Virgil van Dijk, Philippe Coutinho, Kalidou Koulibaly dan Cristiano Ronaldo tetapi tidak memasukkan Salah.

Beliau juga berkongsi pandangannya terhadap Firmino dengan mengatakan bahawa rakan sepasukannya itu tidak pernah marah walaupun Mane atau Salah tidak menghantar bola kepadanya.

“Oh, luar biasa. Luar biasa. Kalau saya kata luar biasa, memang luar biasa. Sebab sejak saya membesar, saya tak pernah lihat pemain bola dan manusia seperti Bobby. Tak pernah.

“Dia satu-satunya pemain yang saya jemput ke rumah saya.

“Apa yang dia boleh buat di padang, saya sendiri pun tak boleh. Dan saya tak pernah lihat mana-mana pemain lain yang sama. Dia kadang-kadang tak peduli hal-hal tertentu. Dia semula jadi begitu.

“Salah boleh menjaringkan gol, saya boleh menjaringkan gol; kalau Bobby tak menjaringkan gol dan diganti , dia tak kisah. Saya? Saya akan marah. Salah pun sama — dia akan marah.

“Kami sebagai pemain memang kadang-kadang begitu. Terlalu mahukan sesuatu. Tapi Bobby… bagi saya, bila saya lihat dia dalam kehidupan seharian, dia berbeza. Saya tak pernah lihat dia marah kepada sesiapa. Tak pernah. Bagi saya dia lebih daripada sekadar pemain bola. Dalam semua aspek… dia istimewa.”

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img