JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan seorang pemandu kereta sewa yang mengenakan `harga keras’ RM120 kepada seorang penumpang warga Bangladesh sebanyak RM120 dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke KLCC semalam.
Pemandu itu yang layak dipanggil ulat kereta sewa menaiki kereta jenis Honda City ditahan kerana menawarkan perkhidmatan kereta sewa tanpa lesen atau secara haram hasil intipan JPJ di Stesen Penguat Kuasa KLIA, Terminal 1 KLIA.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pemandu terbabit cuba memujuk dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang warga Bangladesh dari Terminal 1 KLIA ke KLCC dengan kadar tambang RM120 yang mana akan dibayar apabila sampai ke destinasi.
“Susulan itu, pemandu dan keretanya ditahan bagi membantu siasatan. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta sama,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, orang awam dinasihatkan mengguna perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.


