SEKURANG-kurangnya 15 pekerja terbunuh manakala tujuh lagi cedera selepas dadang di sebuah kilang menghasilkan gam meletup di Faisalabad, wilayah Punjab, hari ini, menurut pihak berkuasa tempatan.
Polis memaklumkan bahawa pengurus kilang telah ditahan untuk siasatan, manakala pemiliknya melarikan diri sejurus selepas kejadian.
Letupan kuat yang berlaku di unit industri itu menyebabkan struktur bangunan rosak teruk dan mencetuskan kebakaran, sekali gus mencemaskan penduduk di kawasan sekitar. Pentadbir tempatan, Raja Jahangir, berkata siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar letupan, selain mengesahkan beberapa rumah berhampiran turut terjejas.
Pegawai polis Mohammad Aslam berkata pasukannya sedang menyiasat kemungkinan berlaku kegagalan teknikal pada dandang tersebut.
Ketua Menteri Punjab, Maryam Nawaz Sharif, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan pihak berkuasa agar memberikan rawatan terbaik kepada mereka yang cedera.
Pakistan terus berdepan rekod keselamatan industri yang lemah, dengan insiden maut sering berlaku.
Pada 2024, sebuah kilang tekstil di Faisalabad mengalami letupan dandang yang mencederakan 12 pekerja. Minggu lalu, empat pekerja terbunuh dalam letupan di sebuah kilang mercun di Karachi.


