Cadang Nurul Izzah jadi MB Selangor : Taktikal politik atau isyarat Amirudin?

PENULIS  kagum apabila Amirudin Shari secara terbuka memberitahu beliau telah mencadangkan kepada Nurul Izzah Anwar untuk anak Perdana Menteri itu jadi Menteri Besar Selangor menggantikan beliau.

Apabila membaca kenyataan itu yang dibuat ketika menjadi tetamu poscast Keluar Sekejap, penulis tertanya-tanya kenapakah Amirudin menawarkan jawatan MB itu kepada Nurul Izzah yang juga Timbalan Presiden PKR tersebut.

Persoalan paling utama bilakah Nurul Izzah akan menduduki jawatan itu sedangkan beliau bukanlah ADUN di mana-mana kawasan di Selangor?

Adakah maksud Amirudin, Nurul Izzah menerajui Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang tempoh penggalnya berakhir pada Ogos 2028 atau adakah beliau mahu satu Pilihan Raya Kecil (PRK) di salah satu DUN di Selangor diadakan khusus bagi membolehkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bertanding?

Untuk menantikan PRN 2028 boleh sahaja tetapi kalau mahu mengadakan satu PRK semata-mata bagi membolehkan Nurul Izzah menduduki jawatan tersebut, ia agak keterlaluan.

Penulis lega apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Amirudin tidakpun berbincang dengan beliau berhubung cadangan itu.

Kenyataan Anwar itu sudah tentulah melegakan kerana Amirudin melontarkan perkara tersebut ketika terdapat ura-ura Perdana Menteri akan merombak Kabinet dan pada masa sama Amirudin pula menyatakan beliau sudah bersedia menjadi menteri persekutuan.

Ia menimbulkan spekulasi atau persepsi adakah Amirudin ingin memberi isyarat kepada Anwar bahawa beliau boleh menggantikan kekosongan yang berlaku di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau Menteri Ekonomi.

Tidak salahpun kalau Amirudin mahu memberikan isyarat tersebut, lagipun beliau layak berdasarkan prestasi cemerlang menerajui Selangor. Kalau berdasarkan pencapaian beliau di negeri tersebut, Amirudin paling sesuai mengisi salah satu jawatan berkaitan ekonomi dan pelaburan tersebut.

Tetapi persoalannya, Perdana Menteripun tidak mahu mengulas mengenai rombakan Kabinet tersebut ketika ditanya wartawan di Johannesburg.

Namun begitu kenyataan Anwar itu tidak bermakna peluang Amirudin untuk ke pusat sudah tertutup, cuma bukan buat masa sekarang walaupun Perdana Menteri harus mencari pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tengku Zafrul dan Datuk Seri Rafizi Ramli.

Tetapi senario boleh berubah jika Anwar melantik Amirudin ke Kabinet manakala kerusi Menteri Besar Selangor diberikan kepada mana-mana ADUN PKR sedia ada, bukannya dengan mengadakan PRK bagi membolehkan Nurul Izzah menduduki jawatan tersebut.

Lagipun penulis dengar di Selangor, ramai juga ADUN yang menyimpan hasrat menggantikan Amirudin.

Penulis percaya apabila Amirudin menyatakan beliau sudah bersedia menjadi menteri Persekutuan, ia menunjukkan beliau yakin peluang untuk naik ke posisi lebih tinggi dalam kerajaan terbuka jika PH terus memerintah negara

Sebagai Naib Presiden PKR yang mendapat undi tertinggi iaitu 7,955 undi, Amirudin sememangnya berpeluang menjadi salah seorang pengganti Anwar apabila tiba masanya.

Untuk rekod Naib Presiden lain Datuk R. Ramanan 5,895 undi , Datuk Seri Aminuddin Harun (5,889 undi) dan Chang Lih Kang (5,757 undi) .

Jika dilihat kepada senarai barisan kepimpinan PKR, hanya Amirudin dilihat paling sesuai selepas Rafizi kalah jawatan Timbalan Presiden manakala Nik Nazmi Nik Ahmad kalah kerusi Naib Presiden.

Sebelum ini merekalah yang dilihat pencabar kepada Amirudin yang penulis yakin ada ketokohan untuk memimpin PKR selepas Anwar.

Dari segi taktikal, ramai percaya inilah waktu terbaik untuk Amirudin melangkah ke Kabinet sama ada bagi menggantikan Tengku Zafrul atau Rafizi atau selepas PRU-16 jika PH-BN masih berkuasa. Apapun Amirudin harus berhati-hati dalam politik segalanya berkemungkinan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img