Kekal di hotel, pejabat konsulat beritahu rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai

PEJABAT Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla meminta rakyat Malaysia terperangkap banjir di Hatyai dan kawasan sekitar untuk terus berhubung dengan pihaknya bagi mendapatkan bantuan.

Konsul Jeneral Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, setakat ini pihaknya dimaklumkan kebanyakan rakyat Malaysia terperangkap berada di hotel sekitar Hatyai.

Katanya, kumpulan rakyat terbabit diminta kekal di hotel masing-masing atau bergerak ke tempat lebih tinggi, sementara menunggu bantuan pihak berkuasa Thailand.

“Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di Thailand bagi membantu memastikan keselamatan rakyat kita yang terperangkap termasuk memindahkan mereka ke pusat perlindungan sementara.

“Kita tidak ada jumlah tepat, tetapi mereka yang terperangkap terutamanya yang memerlukan bantuan diminta hubungi segera Pejabat Konsulat bagi membolehkan kita mengesan kedudukan mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Ahmad Fahmi memaklumkan, keadaan di bandar Hatyai setakat tengah hari ini masih banjir dan hampir semua jalan keluar tidak dapat dilalui kenderaan kecuali laluan tertentu sahaja.

Katanya, terdapat juga kemungkinan jalan menuju ke sempadan Thailand-Malaysia terputus akibat dinaiki air.

“Kita mendapat maklumat hujan akan berterusan sepanjang hari ini, namun cuaca akan kembali pulih mulai Ahad (esok) atau Isnin dan air akan mulai surut selepas itu.

“Setakat yang saya dimaklumkan, tidak ada laporan mengatakan pintu sempadan Thailand-Malaysia ditutup, cuma mungkin jalan ke sempadan dinaiki air menyebabkannya terputus.”

Menurut laporan, hujan lebat berterusan sejak awal minggu menyebabkan banjir besar melanda lapan wilayah di selatan Thailand, menjejaskan hampir 360,000 penduduk di 48 daerah, lapor Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM).

Lapan wilayah terjejas termasuk Phatthalung, Satun, dan Songkhla yang menjadi lokasi tumpuan pelancong Malaysia ketika bercuti di negara jiran itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img