Banjir Kelantan:  *MB minta penduduk terjejas berpindah *TNB tutup bekalan elektrik di Kota Bharu,Bachok, *UMK Kampus Kota lumpuh

KEADAAN banjir di Kelantan semakin buruk apabila seramai 4,421 mangsa daripada 1,702 keluarga dipindahkan di empat daerah di Kelantan berbanding 1,970 mangsa yang direkodkan pada jam 9.56 pagi.

Ia membabitkan 2,273 orang di Tumpat, Kota Bharu (1,079), Bachok (975 orang) dan Pasir Puteh (tujuh orang).Mangsa ditempatkan di 22 PPS melibatkan 11 di Kota Bharu, Tumpat (enam), Bachok (empat) dan Pasir Puteh (sebuah).

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud menasihati penduduk terjejas banjir di negeri itu supaya segera berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan masing-masing.

Gelagat pelajar-pelajar UMK apabila Kampus Kota dilanda banjir.

Beliau berkata perkara itu penting bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana ketika paras air sedang meningkat, proses pemindahan akan menjadi lebih sukar serta berisiko.

“Semua pusat pemindahan sementara (PPS) menyediakan kemudahan lengkap untuk mangsa berlindung, meskipun mungkin tidak senyaman berada di rumah.

“Yang paling utama adalah keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan barangan asas kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Tapang di Kota Bharu hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata semua PPS di negeri ini telah membuat persiapan rapi bagi menempatkan mangsa banjir dan kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam menghadapi bencana itu.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau anak masing-masing daripada bermain air banjir.

SEMENTARA itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan di sekitar Kota Bharu dan Bachok hari ini susulan hujan berterusan dan keadaan banjir di Kelantan.

Menurut kenyataan TNB, penutupan bekalan dibuat bagi memastikan keselamatan pengguna di lokasi yang terjejas.

Penutupan bekalan melibatkan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di Kota Bharu dan Wakaf Aik di Bachok.

“TNB turut mengingatkan bahawa penutupan tambahan akan dilakukan di mana-mana pencawang elektrik yang berisiko sekiranya paras air banjir meningkat dan mengancam keselamatan pengguna.

“Orang ramai disarankan supaya sentiasa berwaspada dengan hujan lebat dan risiko banjir, selain menyimpan dokumen penting di tempat selamat. TNB merakamkan penghargaan atas kesabaran dan keprihatinan pengguna sepanjang gangguan bekalan berlaku,” menurut TNB.

 Dalam perkembangan berkaitan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di Taman Bendahara Kota Bharu lumpuh sejak Sabtu selepas ditenggelami air sedalam 0.3 hingga 0.6 meter.

Naib Canselor UMK, Datuk Dr Arham Abdullah berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kali ini lebih buruk berbanding tahun lepas.

“Di sini sudah menjadi trend banjir disebabkan hujan. Ini kerana di kawasan Taman Bendara, UMK Kampus Kota berada pada kedudukan paling rendah.

“Lima pam telah disediakan oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) serta berfungsi dengan baik namun disebabkan kuantiti hujan yang banyak menyebabkan kawasan ini masih dinaiki air,” katanya pada sidang media semasa mengadakan lawatan ke UMK Kampus Kota.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img