KONSULAT Jeneral Malaysia di Songkhla menerima laporan sebuah hotel di Hatyai telah mengarahkan 42 rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak yang terperangkap akibat banjir besar yang melanda selatan Thailand itu, keluar dari penginapan mereka pagi ini.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak berkaitan dan bantuan sudah diberikan kepada rakyat Malaysia yang terbabit.
Katanya, semua rakyat Malaysia berkenaan sudah dipindahkan ke sebuah hotel lain selepas pihaknya mendapat bantuan daripada Persatuan Hotel Hatyai, Songkhla.
“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku dalam keadaan banjir besar yang melanda banyak kawasan di selatan Thailand ketika ini.
“Kita mendapat bekerjasama Presiden Persatuan Hotel Hatyai Songkhla, Dr Sitthipong Sitthiphataraprabha yang bersetuju memindahkan semua rakyat Malaysia terbabit ke hotel lain,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.
Ahmad Fahmi berkata, beliau bersama kakitangan Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla berusaha membantu setiap rakyat Malaysia yang terperangkap di Hatyai dan kawasan sekitar.
Katanya, beberapa pihak termasuk badan sukarelawan tempatan di Songkhla turut menghulurkan bantuan makanan dan berusaha mengesan rakyat Malaysia yang terperangkap di Hatyai.
“Kami bersama pihak sukarelawan tempatan berusaha membantu rakyat Malaysia yang terperangkap dengan menghantar makanan dan minuman kepada mereka.
“Rakyat Malaysia yang bercadang pulang melalui jalan darat atau udara boleh menghubungi pihak konsulat untuk bantuan perjalanan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, sudah ada rakyat Malaysia yang dapat pulang menggunakan laluan Sadao dan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam hari ini.
Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghentikan sementara perkhidmatan tren dari Padang Besar ke Hatyai sejak kelmarin berikutan banjir yang melanda kawasan selatan Thailand itu.
Eksekutif Operasi KTMB Padang Besar, Mohamad Faris Che Lah berkata, laluan dari Padang Besar ke Hatyai terpaksa ditutup selepas paras air di kawasan berhampiran Stesen Khlong Ngae di Sadao, wilayah Songkhla mula meningkat dan menjejaskan keselamatan operasi.
“Laluan Padang Besar ke Hatyai masih ditutup sebagai reaksi kepada situasi banjir di Thailand. Ia ditutup bermula 21 November (Jumaat) selepas banjir mula naik di kawasan Sadao berdekatan Stesen Khlong Ngae,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohamad Faris berkata, pembukaan semula perkhidmatan tren melibatkan laluan itu hanya akan dibuat selepas keadaan banjir pulih sepenuhnya dan disahkan selamat oleh pihak berkuasa.


