Selepas Anwar terima peletakan jawatan…SPRM jangan tunggu lagi…siasat segera Shamsul Iskandar

ANALISIS

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan tepat apabila menerima  peletakan jawatan Setiauaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Malah Perdana Menteri juga menunjukkan ketelusan yang tinggi apabila beliau dalam kenyataannya menegaskan ‘Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar.

“Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.

Penulis percaya Shamsul Iskandar pun mahu membersihkan namanya atas sebab itulah dalam kenyataannya semalam bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya  itu menegaskan:

‘’ Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI. Justeru saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini.’’

Bagaimanapun tidak dipastikan adakah maksud Shamsul Iskandar ‘’serangan’ itu berkaitan surat sokongan untuk kontraktor bagi satu projek di sebuah hospital yang mengakibatkan beliau sebelum ini diberi amaran keras oleh Anwar atau pendedahan terbaru Ahli Perniagaan Albert Tai.

Pendedahan itu disiarkan secara eksklusif oleh portal berita Malaysiakini beberapa jam selepas Shamsul Iskandar membuat kenyataan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

Dalam pendedahan tersebut, Albert yang sebelum ini menggegarkan Sabah dengan isu rasuah lesen penerokaan mineral mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik Sabah.

Justeru dengan sikap terbuka Perdana Menteri dan dengan semangat Shamsul Iskandar mahu mempertahankan diri serta  membersihkan namanya maka adalah wajar jika SPRM melakukan siasatan segera terhadap tuduhan yang dihadapi oleh beliau (Shamsul Iskandar).

Adalah tidak adil jika Shamsul Iskandar mengorbankan jawatannya demi menjaga nama baik Kerajaan MADANI sedangkan tuduhan itu belum lagi dipastikan benar atau tidak. Kalau tengok kepada apa yang didedahkan oleh Albert memangla ‘naik bulu roma’ tetapi hanya siasatan SPRM perlu menentukan sama ada yang dituduh itu berlaku atau tidak.

Penulis percaya SPRM akan proaktif dalam kes profail tinggi tersebut sepertimana juga kes-kes seumpama itu sebelum ini. SPRM tidak perlu menunggu laporan dibuat kerana kes ini sudah menjadi tumpuan ramai.

 Pada masa sama, siasatan harus diselesaikan secepat mungkin supaya  ia tidak dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak dengan mengaitkan Perdana Menteri, Kerajaan MADANI atau Pakatan Harapan.

Hakikatnya SPRM sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Perdana Menteri untuk melakukan siasatan berhubung tuduhan terhadap Shamsul Iskandar. Jangan tunggu lagi sebab lagi lama kes ini tidak dipastikan kebenarannya, lagi rosak imej Shamsul Iskandar…kasihanilah beliau..

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img