MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang kaunselor program motivasi rumah tangga eHati atas kesalahan mendedahkan anggota badan sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, dua bulan lalu.
Hakim Syarie, Dr Zainal Abidin Kusmin menetapkan hukuman denda itu ke atas Siti Zaama Rizal Boss, 49, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara satu bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Siti Zaama didakwa menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara mendedahkan anggota badan sehingga boleh dilihat orang lain yang dilarang oleh hukum syarak.
Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah dewan di pusat konvensyen di Shah Alam antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam pada 29 September lalu.
Bagi kesalahan terbabit, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Husaini Roslin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa rayuannya, Siti Zaama memohon maaf dan menyedari kesilapan yang dilakukan namun mendakwa ia dilakukan kerana ingin membuang rasa malu serta rasa rendah diri.
“Saya ada masalah rumah tangga dan banyak trauma yang berat untuk saya tanggung. Saya mohon maaf dengan apa yang berlaku dan menjadi pengajaran yang jelas buat saya.
“Saya hanya mampu bayar denda RM500 kerana tidak bekerja dan suami juga tidak bekerja. Mohon mahkamah mempertimbangkan keadaan saya dan mengetepikan hukuman penjara,” rayunya.
Sementara itu, Dr Zainal Abidin berkata, sebagai orang Islam sewajarnya menjadi duta kepada agama dan menunjukkan sikap yang baik sebagai teladan kepada orang bukan beragama Islam.
“Islam itu sebagai ‘pakaian’ dan cara hidup kamu. Bukan secara zahir tetapi pelindung kamu.
“Walaupun anda sakit (masalah rumah tangga dan emosi). Namun, perhitungkan halal dan haram jangan dilanggar sahaja… Kamu aibkan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, dalam prosiding sama, dua lagi tertuduh iaitu Bushra Mohd Zaki, 41; dan Munirah Hishamshah, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Kedua-dua tertuduh yang masing-masing diwakili Peguam Syarie, Yusfa Hanis Yusoff dan Rezal Mazli Abdul Muin membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama, antara jam 2.30 petang hingga 6.30 petang pada 30 September lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh dan menetapkan perbicaraan kes pada 5 Mac 2026.


