SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini mengesahkan telah menahan tiga individu termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi membantu siasatan kes tohmahan rasuah membabitkan pemberian wang oleh ahli perniagaan, Albert Tei.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketiga-tiga individu terbabit adalah Shamsul Iskandar, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong telah ditahan untuk membantu siasatan pihaknya.
Beliau berkata, Sofia Rini ditahan semalam pada jam 10.30 malam ketika hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
“Mahkamah Majistret Putrajaya melalui Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin kemudian membenarkan wanita itu direman empat hari hingga 1 Disember 2025.
“Sementara itu, Albert Tei yang pada asalnya dijadualkan hadir memberi keterangan pada 1 Disember depan, diminta tampil lebih awal namun didakwa enggan berbuat demikian.
“Albert Tei ditahan pada jam 10.15 pagi ini di rumahnya. Beliau adalah individu paling penting bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Azam berkata, Shamsul Iskandar ditahan pada jam 12.51 tengah hari ini ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.
Permohonan reman terhadap Albert dan Shamsul Iskandar akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok, kata kenyataan itu lagi.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes berkepentingan awam dan siasatan memperincikannya dijalankan segera bagi mengelakkan sebarang manipulasi mana-mana pihak.
“Ingin saya tegaskan, kes ini merupakan kes berkepentingan awam dan atas faktor itu SPRM telah menjalankan siasatan dengan kadar segera agar tidak dimanipulasi pihak tertentu.
Beliau menegaskan SPRM komited memastikan siasatan dijalankan secara profesional dan adil mengikut undang-undang.
“Mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan penahanan ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai hak untuk mempertikaikannya di mahkamah.
“Pegawai penyiasat telah diarahkan untuk melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh seminggu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya lagi.
Jelas beliau, semua pihak diminta bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Azam turut menafikan berlaku situasi di mana pegawai SPRM mengacukan senjata di kepala ahli perniagaan Albert ketika tangkapan dilakukan terhadap individu berkenaan.
Jelas beliau, tangkapan oleh pegawai SPRM di rumah ahli perniagaan berkenaan hari ini dilakukan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Sehubungan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan atas fitnah dibuat terhadap pegawai SPRM berkenaan.
Laporan polis ini juga kata Azam, bagi memastikan tiada pihak-pihak tertentu menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih yang berkemungkinan dengan niat bagi mengganggu siasatan kes yang dijalankan SPRM.


