SEORANG pekerja kilang maut manakala tujuh lagi cedera parah apabila van kilang dinaiki terbabas di Jalan Mount Erskine, Georgetown hari ini.
Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, empat daripada lapan mangsa tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi sebelum sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dan BBP Lebuh Pantai digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah van kilang dengan lapan mangsa terlibat. Empat mangsa didapati tersepit dan kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa pada pukul 7.17 pagi dan diserahkan kepada polis dan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Tujuh mangsa yang cedera parah terdiri daripada seorang lelaki iaitu pemandu van dan enam pekerja wanita berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun. Sementara seorang lagi pekerja wanita disahkan meninggal dunia di lokasi. Identiti mangsa yang maut belum dikenal pasti.
“Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.50 pagi. Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.


