SEKURANG-kurangnya 11 orang maut dan lebih 20 cedera selepas dua bas kerajaan bertembung di jalan utama Thirupattur–Karaikudi di daerah Sivaganga, Tamil Nadu semalam.
Portal newindianexpress melaporkan, satu sumber memberitahu kedua-dua bas berkenaan — satu dari Kangeyam di Tiruppur menuju ke Karaikudi, dan satu lagi dari Karaikudi di Sivaganga menuju ke Dindigul — bertembung secara berdepan sekitar jam 5 petang (pukuk 7 malam waktu Malaysia).
Menurut kenyataan rasmi, kesemua 11 mangsa — 9 wanita dan 2 lelaki — maut di tempat kejadian.
Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Besar Karaikudi dan Thirupattur, serta Hospital Kolej Perubatan Kerajaan Sivaganga untuk rawatan. Sebaik menerima maklumat tentang kejadian itu, anggota polis dari Balai Polis Natchiyapuram bersama pasukan bomba dan penyelamat bergegas ke lokasi.
Ketua Menteri MK Stalin menyatakan rasa terkejut dan dukacita terhadap kemalangan itu serta kehilangan nyawa yang berlaku.
Beliau berkata bahawa beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah dan Menteri KR Periyakaruppan, menteri yang bertanggungjawab bagi daerah tersebut, untuk memberikan segala bantuan kepada mangsa serta memastikan rawatan sewajarnya diberikan kepada mereka yang cedera.


