LELAKI gelandangan yang disimbah air dan ditendang di luar cawangan Ambank di Taman Maluri, Cheras yang videonya tular baru-baru ini, dijadualkan pulang ke negara asalnya di India malam esok.
Safiudeen Pakkeer Mohamed, 39, yang menjadi perhatian media selepas kejadian itu kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan yang dikendalikan Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.
Pengasas dua pusat perlindungan gelandangan, Tony Lian berkata, penerbangan Safiudeen pulang ke India dijadualkan malam esok.
“Jabatan Tenaga Kerja dan polis telah menemubual Safiudeen, awal hari ini dan lelaki itu menjalani proses siasatan yang Panjang iaitu kira-kira tiga jam,” katanya, lapor FMT.
Selepas siasatan itu, Lian membawa Safiudeen ke suruhanjaya tinggi untuk mengaturkan satu pertemuan dengan majikannya.
“Saya bertemu majikan dan pegawai suruhanjaya. Dalam pertemuan itu, majikan bersetuju menyelesaikan tunggakan gaji Safiudeen secara baik dan membelikan tiket pulang untuknya,” katanya.
Safiudeen mendapat simpati orang ramai selepas satu video menunjukkan beliau disembur air oleh seorang pengawal keselamatan dan ditendang seorang lelaki di luar sebuah bank.
Video itu yang tular mencetuskan kemarahan pengguna di media sosial. Lian kemudiannya datang menyelamatkan Safiudeen dan membawa lelaki itu ke pusat perlindungannya.
Dalam wawancara baru-baru ini, Safiudeen yang berasal dari Tamil Nadu berkata, beliau datang ke Malaysia pada Mac tahun lalu untuk mencari kehidupan lebih baik.
Safiudeen juga memaklumkan dia tidak pernah menyangka akan menjadi perhatian media bukan kerana kerjanya, tetapi kerana dihina hanya tidur di luar sebuah bank.
Lian dan sekumpulan kecil sukarelawan turut mengumpul dana bagi membantu Safiudeen membina semula kehidupannya sebaik kembali ke India.
“Kami sudah mengumpul dan menyumbangkan wang itu, dan ia akan disalurkan melalui suruhanjaya tinggi. Mereka akan menghantar wang tersebut kepadanya,” kata Lian sambil menambah beliau akan terus berhubung dengan isteri Safiudeen.
Safiudeen berkata beliau bekerja di sebuah restoran di Sri Gombak, dengan gaji kecil sebagai tukang masak. Namun, beliau mendakwa majikannya menahan pasport dan gajinya, kadangkala selama berbulan-bulan. Ini menyebabkan beliau tidak dapat menghantar wang ke keluarganya.
Katanya lagi, beliau mahu berhenti kerja, namun tidak dibenarkan majikan berbuat demikian.
Menurutnya, majikan restoran itu mengambil pasportnya sebaik sahaja beliau tiba di Kuala Lumpur, menyebabkan beliau tidak boleh mencari pekerjaan lain.


