SEORANG saintis sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang kerugian RM466,078 selepas wang simpanannya lesap akibat terpedaya dengan pelaburan mata wang asing (forex) dalam talian menerusi sebuah platform pada awal September lalu.
Mangsa, seorang lelaki berusia 26 tahun terjebak dalam sindiket penipuan itu selepas berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi Xion Hong Shu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa ditawarkan untuk menyertai satu pelaburan yang kononnya mampu memberi keuntungan lumayan dalam tempoh singkat menerusi dagangan mata wang asing.
“Mangsa diminta memuat turun aplikasi bagi pendaftaran sebelum membuat pelaburan pertama RM4,500 pada 6 Oktober ke akaun individu di sebuah bank sebelum menerima pulangan RM4,754.
“Disebabkan yakin dengan keuntungan itu, mangsa menambah pelaburannya kepada RM466,078.51 menerusi 13 transaksi yang dimasukkan ke dalam tujuh akaun bank berbeza antara 6 Oktober hingga 17 November lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun berasa curiga apabila tidak dapat mengeluarkan keuntungan, sebaliknya diminta membuat pembayaran tambahan untuk tujuan pengeluaran.
Dia kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya semalam selepas menyedari dia ditipu, kata Azizee.
Menurut beliau, kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


