PELAKON, penyanyi dan hos terkenal Erra Fazira mengumumkan bahawa beliau akan berkahwin dengan pilihan hatinya, Ezwan Zain, yang juga dikenali sebagai ‘Mr E’, pada 12 Disember.
Majlis pernikahan akan berlangsung di Shah Alam, Selangor, dan pasangan itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi pada 13 Disember.
Pengumuman gembira itu dikongsikan oleh primadona filem Melayu tersebut semasa pelancaran video muzik Cinta Abadi, yang turut menjadi lagu tema perkahwinan mereka.
“Ya, Insya-Allah, kami akan berkahwin pada 12 Disember ini. Mohon doakan agar perkahwinan kami diberkati,” kata Erra.
Perkahwinan dengan Ezwan, 44, merupakan perkahwinan ketiga bagi Erra, 51, selepas lebih 10 tahun bergelar ibu tunggal.
Terdahulu, perkahwinan Erra dengan pelakon dan vokalis KRU, Datuk Yusry Abdul Halim, berakhir dengan perceraian pada 2006.
Erra kemudian berkahwin dengan ahli perniagaan Engku Emran dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, sebelum mereka bercerai pada 2014.


