JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah sedang menyiasat dakwaan kemunculan harimau belang di Kampung Selarong Panjang, Mahang di Kulim awal pagi ini.
Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, beliau bersama empat anggota Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Jabatan Perhilitan Kedah telah bertemu seorang daripada penduduk kampung yang mendakwa melihat haiwan berkenaan.
“Perhilitan Kedah menerima aduan tersebut dan pada jam 11.35 pagi tadi, saya bersama anggota UKHM turun ke lokasi untuk berjumpa dengan pengadu.
“Menurut pengadu, dia ternampak kelibat harimau sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya ketika menaiki kenderaan kira-kira jam 2.30 pagi di jalan Kampung Selarong-Mahang,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, ketika siasatan dijalankan tiada tanda-tanda kehadiran harimau melalui kawasan berkenaan.
“Namun, saya tidak menolak kemungkinan kawasan berkenaan ialah kawasan harimau dahan berkeliaran. Ini berdasarkan kesan pudar tapak kaki harimau itu yang ditemukan di sekitar kawasan kejadian di mana penduduk mendakwa ternampak harimau,” katanya.
Abdul Malek berkata, kawasan hutan terhampir adalah Hutan Simpan Ulu Paip yang terletak sejauh enam kilometer (km) dan Hutan Simpan Kekal Gunong Inas, iaitu kira-kira 22 km.
“Kawasan sekitar tempat kejadian dikelilingi oleh kebun getah, dusun dan ladang sawit. Pengadu dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pihak jabatan sekiranya terdapat gangguan berulang,” katanya.
UKHM Kedah akan membuat pemantauan secara berkala di samping meluaskan kawasan pemantauan bagi mengenal pasti laluan dan mencerap kehadiran harimau di sekitar kawasan berkenaan.
Terdahulu, penduduk Kampung Selarong Panjang di sini dikejutkan dengan khabar angin yang tular melalui aplikasi media sosial berhubung kelibat seekor harimau belang yang dikatakan melintas kawasan perkampungan itu pada awal pagi semalam.
Penduduk turut menggesa tindakan segera diambil pihak berkuasa demi keselamatan penduduk setempat.
Sementara itu, pada Jun lepas, Bernama melaporkan mengenai serangan harimau belang berhampiran Kampung Ulu Dingin, Mahang di sini, yang menyebabkan kematian haiwan ternakan milik penduduk kampung.


