SEORANG pelajar pengajian Doktor Falsafah (PhD) maut manakala rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam tasik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di Kelantan hari ini.
Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 6.35 petang melibatkan kereta jenis Perodua Axia dinaiki kedua-dua mangsa.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang ketika mangsa, Muhammad Amidee Abdullah, 25, sedang melalui selekoh dalam keadaan menuruni bukit di kawasan kampus berkenaan.
“Secara tiba-tiba kereta tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam tasik di bahagian kanan jalan. Penumpang berjaya keluar menyelamatkan diri, namun pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penumpang kini menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jeli,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian sebenar mangsa.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di talian 09-944 0222 atau pegawai penyiasat di 014-802 1928,” katanya.
Kamarulzaman turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika melalui kawasan berbukit dan selekoh bagi mengelakkan kemalangan.
Sementara itu, UMK dalam kenyataan malam ini memaklumkan Allahyarham Muhammad Amidee berasal dari Kampung Manal Jaya, Tanah Merah dan merupakan mahasiswa pascasiswazah di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi.
“Pada masa ini, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan UMK sedang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan itu.
“UMK merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. UMK turut menyediakan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham bagi membantu mereka menghadapi saat-saat sukar ini,” menurut kenyataan itu.


