BEKAS Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM176,830 daripada Ahli perniagaan Albert bagi meluluskan lesen penerokaan mineral membabitkan beberapa syarikat, dua tahun lalu.
Tertuduh, Shamsul Iskandar, 51, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh selaku ejen Kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa secara rasuah telah bersetuju menerima suapan wang tunai RM100,000 daripada Albert Tei.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur, pada 24 November 2023.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03, serta wang tunai RM40,000 daripada individu sama di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 7 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024, manakala penerimaan wang tunai itu didakwa berlaku pada 29 Januari 2024.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan dalam bentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249.00 dari Albert Tei di sebuah rumah di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, 26 Februari lalu.
Tertuduh didakwa menerima semua suapan tersebut sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat Albert Tei yang mempunyai kepentingan memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perbuatan tersebut tidak berkaitan dengan hal ehwal tugas rasminya sebagai ejen kerajaan.
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana menetapkan 8 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan kes dan membenarkan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.
Mahkamah turut mengenakan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediaman sebulan sekali, menyerahkan pasport sehingga kes selesai, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Joshua Tay.


