KEJADIAN tanah runtuh yang berlaku di Kampung Orang Asli di Batu 12, Gombak, Selangor pada Rabu lalu didakwa turut disebabkan oleh saliran air dan sisa binaan projek pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terletak 200 meter di atas bukit berhampiran lokasi itu.
Dakwa salah seorang, Mahadil Ali, 55, insiden berkenaan merupakan kejadian tanah runtuh pertama sejak penempatan itu dibuka pada 1991.
Dia mendakwa, air dan sisa binaan daripada ECRL yang terletak kira-kira 200 meter di atas bukit ke laluan air di kampung berkenaan menjadi antara faktor mempengaruhi struktur tanah kawasan itu.
“Jika ada cadangan untuk kami berpindah, saya akan bersetuju kerana kawasan tanah di rumah saya sudah tidak selamat diduduki,” katanya, lapor Bernama.
Insiden tanah runtuh itu telah menyebabkan lapan keluarga hilang tempat tinggal dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Serbaguna Orang Asli Batu 12.
Sementara itu, Halimah Yunos, 71, antara 47 penduduk terjejas berkata, insiden kira-kira 7 malam itu berlaku selepas hujan lebat berterusan menyebabkan berlakunya pergerakan tanah di laluan air yang merentasi kampung.
Katanya, pergerakan tanah sudah dikesan sejak 25 November, namun kejadian pada Rabu itu menyebabkan rumahnya tidak lagi selamat diduduki.
Dalam pada itu, wakil dari Pejabat Ahli Parlimen Gombak, Hazmimi Johar berkata, semua mangsa akan terus ditempatkan di PPS itu sehingga kawasan penempatan baharu yang lebih sesuai dan selamat dikenal pasti, manakala bantuan makanan dan keperluan asas akan diteruskan.
Menurut Hazmimi, secara keseluruhan, terdapat 290 rumah dengan anggaran 1,400 penduduk Orang Asli mendiami kampung itu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.10 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati runtuhan tebing setinggi kira-kira 7.6 meter melibatkan kawasan seluas 100 kaki persegi, mengakibatkan lapan rumah terjejas, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


