SEBANYAK 11 zon sesar aktif telah dipetakan di seluruh negara, termasuk beberapa di Semenanjung Malaysia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata pemetaan itu dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains antara tahun 2016 hingga 2020.
Katanya, enam sesar aktif dikenal pasti di Semenanjung iaitu Bukit Tinggi di Pahang, Bokbak di Kedah–Perak, Kuala Terengganu,Terengganu, Banding di Perak, Kuala Pilah di Negeri Sembilan dan Mersing di Johor.
Beliau berkata Sarawak mempunyai Sesar Tubau di Miri, manakala Sabah mempunyai empat sesar iaitu Lobou Lobou dan Mensaban di Ranau, serta Lahad Datu dan Tabin di Lahad Datu.
Johari menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS–Sri Aman), di Dewan Rakyat yang meminta penjelasan mengenai tindakan susulan berikutan beberapa gempa bumi lemah di Johor.
Sesar ialah retakan besar di bawah tanah yang boleh menyebabkan sebahagian kerak bumi bergerak naik, turun atau menggelongsor. Apabila pergerakan ini berlaku secara tiba-tiba, ia boleh menghasilkan gempa bumi.
Johari turut memaklumkan bahawa enam stesen Fault Movement Benchmark aktif telah dipasang di Sabah bagi memantau pergerakan tanah.
Selain itu, 47 stesen pasif beroperasi di Pahang, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah, dan terdapat rancangan untuk meluaskan pemetaan sesar ke kawasan berisiko tinggi lain termasuk Johor.
Johari berkata, peta bahaya seismik menjadi panduan kepada pihak berkuasa tempatan dan jurutera yang mana mereka disaran mematuhi Malaysia National Annex to Eurocode 8 untuk reka bentuk bangunan tahan gegaran bumi.
Mengenai sistem amaran awal, beliau menjelaskan bahawa gempa bumi tidak boleh diramal, namun tsunami boleh dikesan selepas berlakunya gempa bumi dasar laut.
MetMalaysia kini mengendalikan 80 stesen seismograf di seluruh negara yang disokong oleh 323 stesen antarabangsa.
Beliau berkata amaran akan dikeluarkan dalam tempoh lapan minit bagi gempa bumi bermagnitud 3.0 atau lebih, dan naik taraf di bawah RMK-13 menyasarkan pengurangan masa amaran kepada enam minit menjelang 2026.
Johari turut berkata peningkatan kepada 12 stesen pemantauan seismik sedang dilaksanakan.
“Langkah-langkah ini merupakan strategi komprehensif untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara dan melindungi komuniti di kawasan yang aktif secara seismik,” katanya.
.


